Utusan Borneo (Sarawak)

Sekolah tahfiz: Kementeria­n Pendidikan sedia kerjasama dengan kerajaan negeri

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Pendidikan bersedia memberi kerjasama dan berkolabor­atif dengan kerajaan negeri berhubung hal ehwal sekolah tahfiz, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya pihaknya terbuka untuk mendengar sebarang pandangan dan cadangan dalam memastikan tragedi kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, pada Khamis lepas tidak berulang.

“Kalau kita baca laporan media hari ini (semalam) kita lihat kebanyakan kerajaan negeri telah mula melakukan analisis bagi melihat kembali pengurusan sekolah tahfiz.

“Cuma saya nak tegaskan di sini bahawa sekolah tahfiz ini berada di bawah kerajaan negeri malah dalam Perlembaga­an Persekutua­n sendiri ada menyebut Sultan dan Raja-Raja Melayu yang mengetuai agama Islam dalam negeri masing-masing.

Jadi kita perlu ada satu cara kerjasama yang harmoni dan tertib berkaitan hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berbasikal Fun Ride @Ampang di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kebakaran di pusat tahfiz itu yang mengorbank­an 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi melihat semula aspek keselamata­n maahad tahfiz di seluruh negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia