Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai, atlet puas hati kemudahan mesra OKU

-

KUALA LUMPUR: Semua venue dan hotel penginapan atlet serta pegawai bagi temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 berada pada kelas tersendiri selain disifatkan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) oleh kontinjen luar negara.

Ketua kontinjen Indonesia, Dr Bayu Rahadian berkata selepas membuat tinjauan hampir kesemua venue, beliau jelas berpuas hati terhadap segala akses kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan atlet.

Beliau yang tiba di Kuala Lumpur bersama sebahagian besar kontinjen Indonesia pada Rabu lepas berkata, Jawatankua­sa Pengelola Malaysia (Masoc) banyak memainkan peranan dalam membantu kontinjenn­ya menyesuaik­an diri ketika di venue, hotel penginapan selain turut membantu dalam urusan pengangkut­an atlet.

“Persediaan yang dilakukan Malaysia adalah luar biasa kerana sampai ke saat ini kami tidak menghadapi apa-apa kesulitan yang khusus. Masoc juga pantas memberikan respons jika terdapat sebarang permintaan dan keluhan yang disuarakan para atlet dan pegawai.

“Hampir kesemua venue pertanding­an bermula dari Veledrom Nasional di Nilai sehingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil saya sudah lihat dan semua kemudahan yang disediakan sangat memuaskan.

“Namun begitu, kami ada menghadapi sedikit kesukaran akibat ruang makan yang sempit di hotel, tetapi ia telah ditangani dengan baik dan pantas oleh Masoc dan sekarang ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, atlet catur negara Aqilah Shahira Ahmad menyifatka­n segala bentuk kemudahan yang disediakan di venue dan hotel oleh Masoc yang mencapai standard kemudahan OKU, membakar semangatny­a untuk berjuang memburu pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

“Ia sangat baik dan memang mengikut standard kemudahan OKU, semuanya seperti apa yang saya bayangkan dan ia setanding dengan penganjura­n sukan untuk golongan istimewa di luar negara. Tiada apa yang perlu saya khuatirkan kerana semua telah diatur dengan baik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia