Utusan Borneo (Sarawak)

Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h dijangka beroperasi semula Okt ini

-

KUALA LUMPUR: Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h di Jalan Keramat Ujung di sini dijangka beroperasi semula selewat-lewatnya Oktober ini di bangunan baharu yang terletak tidak jauh dari bangunan yang terbakar tersebut.

Pengetuany­a Mohd Zahid Mahmood berkata, bangunan baharu itu kini sedang diubah suai.

“Bangunan itu juga akan diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatka­n sijil layak menduduki.

“Apabila semua proses itu selesai baharu kesemua pelajar akan masuk semula untuk meneruskan aktiviti pembelajar­an,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, kesemua 18 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang terselamat dalam tragedi awal pagi Khamis lepas kini bercuti dan bersama keluarga masing-masing.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, 21 pelajar berusia 6 hingga 16 tahun serta dua guru berusia 26 dan 25 tahun maut selepas terperangk­ap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Pada sidang media malam kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran berkenaan.

Beliau berkata polis percaya motif kebakaran pusat tahfiz itu adalah dendam yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz tersebut dan pihak luar.

Enam daripada tujuh suspek juga positif dadah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia