Utusan Borneo (Sarawak)

Dua ditahan di London

-

LONDON: Polis British berkata semalam mereka telah membuat dua penahanan berhubung kes pengeboman kereta api London Undergroun­d, ketika mereka meluaskan ruang lingkup siasatan.

Pemuda berusia 21 tahun ditahan lewat kelmarin di Hounslow, pinggir barat ibu negara United Kingdom itu manakala remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan terdahulu dalam serangan Jumaat lalu di stesen Parsons Green yang mencederak­an 30 orang.

Setiausaha Dalam Negeri Amber Rudd berkata semalam bahawa polis cuba menyiasat bagaimana remaja terbabit menjadi radikal.

Bom meletup dalam gerabak yang penuh dan walaupun gagal berfungsi sepenuhnya, ia tetap menyebabka­n satu letupan besar disusuli apa yang disebut saksi sebagai bebola api.

Kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggun­gjawab ke atas serangan itu.

Penahanan pertama dibuat kelmarin di terminal feri Dover, pautan utama ke Eropah, dan sejumlah benda dirampas semasa operasi itu.

Remaja terbabit kini ditahan reman di London, menurut polis.

Polis turut menyerbu sebuah rumah di bandar barat Sunbury kelmarin di mana penduduk tempatan yang dipetik sebagai berkata dalam media tempatan menyatakan pemilik rumah tersebut adalah pasangan ibu bapa angkat yang sudah tua.

Rudd bagaimanap­un meragui dakwaan IS dalam insiden tersebut.

“Sudah pasti Islamic State atau Daesh akan cuba mengaku bertanggun­gjawab tetapi kami belum mempunyai bukti untuk mengesahka­nnya,” jelas beliau kepada BBC.

Saki- baki bom tersebut telah diperiksa saintis forensik tetapi tiada butiran lanjut didedahkan kepada media.

Rudd terdahulu turut menepis sebagai spekulasi semata- mata dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam Twitter pada hari kejadian bahawa ‘ teroris’ yang mendalangi serangan itu dikenali oleh Scotland Yard.

Ulasan itu turut mencetuska­n bidasan keras Perdana Menteri Theresa May yang menegaskan: “Pada pendapat saya, langsung tidak membantu untuk sesiapa sahaja membuat spekulasi mengenai apa yang berlaku sedangkan siasatan sedang dijalankan.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia