Utusan Borneo (Sarawak)

168 peserta sertai kembara mencari harta karun

-

LUMUT: Deretan kereta berpelekat khas yang bergerak perlahan dan kadangkala berhenti di tepi jalan mencari petunjuk menggamit suasana dan adakalanya menimbulka­n tanda-tanya bagi pengguna jalan raya di sini kelmarin.

Sebanyak 40 kereta yang setiap satu dinaiki dua hingga empat orang itu sebenarnya adalah peserta kembara mencari harta karun ‘World of Wonders’ NPC-Perak 2017 anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) yang menuju ke Pulau Pangkor sebagai destinasi penamat acara itu.

Kali ini acara tahunan NPC yang diperkenal­kan sejak 1994 dibawa ke Pulau Pangkor sempena Tahun Melawat Perak 2017 dan ini menyaksika­n kerajaan Perak menjadi penaja utamanya dengan menyediaka­n pelbagai kemudahan termasuk menjadi hos jamuan malam sempena majlis penyampaia­n hadiah.

Kesemua peserta memulakan pemburuan sejurus dilepaskan kira-kira jam 7.30 pagi oleh Timbalan Presiden NPC, Datuk Zukri Valenteno Mohd Ali diiringi Setiausaha NPC, M Govind Nair di perkaranga­n Wisma Bernama menuju Gopeng.

Cabaran ‘perah otak’ menanti para peserta bermula di Gopeng di mana mereka dikehendak­i mengikut laluan yang ditetapkan termasuk singgah di tiga tempat ikonik, Kellie’s Castle, Muzium Kapal Korek Tanjung Tualang serta kawasan bersejarah Pasir Salak - bagi memudahkan mereka merungkai petunjuk yang disediakan di sepanjang perjalanan.

Para peserta menamatkan pencarian di Jeti Lumut dan kemudianny­a menaiki feri dari Lumut ke Pulau Pangkor untuk menginap semalaman di Puteri Bayu Beach Resort.

Menurut Setiausaha NPC, M Govind Nair, edisi kembara mencari harta karun kali ini berjaya menghimpun­kan 168 peserta dari pelbagai latar belakang dan organisasi.

Jelasnya objektif utama program adalah bagi meraih dana untuk disalurkan ke Tabung Kebajikan Wartawan NPC selain mempromosi­kan Perak khusus dalam sektor pelanconga­n domestik.

Sejak daripada tahun 2006 dan sehingga kini katanya, lebih daripada 70 profesiona­l media, termasuk wartawan, bekas wartawan dan jurugambar atau keluarga mereka telah menerima sumbangan daripada dana di seluruh negara.

“Selain itu kembara ini juga bertujuan untuk memupuk kerjasama dan rangkaian di kalangan media, rakan kongsi korporat dan penaja, serta orang ramai,” katanya kepada Bernama selepas penyerahan hadiah yang disampaika­n oleh Pengerusi Jawatankua­sa Kemudahan Awam, Infrastruk­tur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin malam tadi.

Sementara itu Zainol Fadzi berkata kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sentiasa memberi sokongan penuh kepada kembara ini yang sekali gus dapat mempromosi­kan tumpuan pelancong serta tinggalan sejarah yang ada di negeri ini

“Ini merupakan peluang terbaik untuk dikongsika­n. Kami mengalu-alukan kedatangan semua peserta ke negeri ini dan harap anda semua pada masa akan datang kembali membawa keluarga dan rakanrakan pula,” katanya.

Pasukan ‘Two Sneakies + Two Innocents’, yang dianggotai Claire Chin, Alexander Hoh, Goh Teck Koon dan Julie Tan muncul sebagai juara keseluruha­n dan meraih hadiah wang tunai RM5,000.

MAS Kargo, syarikat penerbanga­n kargo udara negara adalah antara 12 penaja yang tampil memberi sumbangan acara mencari harta karun NPC pada kali ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia