Utusan Borneo (Sarawak)

SEKS ‘SUKA SAMA SUKA’ BAWAH UMUR DI BILIK SEWA, REMAJA DITAHAN

-

SIBU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki merogol selepas mengadakan hubungan seks ‘suka sama suka’ sebanyak tiga kali dengan gadis berumur 14 tahun di sini, petang kelmarin.

Terdahulu, mangsa gagal pulang ke rumah selepas mengikut teman lelakinya itu pada Rabu lepas.

Ini memaksa ibunya mencarinya sehingga menjumpai anaknya itu bersama seorang lelaki di dalam bilik sewa pekerja sebuah kedai makan di Permai sekitar jam 1 petang kelmarin.

Bertindak daripada maklumat, suspek ditahan oleh polis selepas satu laporan polis berhubung kejadian dibuat oleh ibu mangsa, 40, di Balai Polis Sentral petang yang sama.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit berkata, suspek yang merupakan pembantu kedai ditahan semasa sedang bekerja di kedai makan berkenaan pada petang yang sama.

“Kes ini timbul apabila mangsa dan suspek mempunyai hubungan ‘suka sama suka’ tetapi mereka masih di bawah umur,” katanya ketika diminta pengesahan kes.

Kejadian itu disedari ibu mangsa apabila mendapati anak gadisnya gagal pulang ke rumah selepas keluar dari rumah pada jam 9 malam Rabu lepas.

Susulan itu, ibu mangsa pergi ke rumah sewa pekerja kedai makan di Permai dan mendapati anaknya sedang bersama suspek di dalam sebuah bilik.

Menurut Zailanni, mangsa masih bersekolah di tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek telah melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali di bilik sewa yang sama dan kali terakhir pada Khamis lalu,” katanya.

Kata Zailanni lagi, suspek telah direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia