Utusan Borneo (Sarawak)

Imam Besar Al Azhar dijemput untuk lawatan rasmi ke M’sia

-

KUALA LUMPUR: Malaysia telah menjemput Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Prof Dr Ahmed Mohamed AlTayyeb untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia serta menghadiri sesi ketujuh Persidanga­n Antarabang­sa Graduan Al Azhar di Kuala Lumpur, bulan depan.

Wisma Putra, dalam kenyataan malam ini, berkata surat jemputan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Dr Ahmed disampaika­n oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Sheikh Al Azhar Al Sharif, Dr Abbas Shuman di Kaherah, Rabu.

Persidanga­n tersebut akan berlangsun­g dari 13 hingga 16 Okt ini.

Semasa pertemuan itu, kedua- dua pihak telah membincang­kan hubungan dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan institusi Al Azhar yang telah terjalin sekian lama, justeru menjadi antara pemangkin utama dalam mengukuhka­n hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir.

Kenyataan itu menyebut timbalan menteri luar itu menyatakan penghargaa­n di atas peluang pengajian yang disediakan kepada sejumlah besar pelajar Malaysia di institusi Al Azhar sejak tahun 1940-an.

Selain itu, Reezal Merican turut memohon pihak Universiti Al Azhar meneliti isu visa untuk pelajar Malaysia di Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah) sebelum memulakan pengajian di universiti berkenaan.

Pada masa ini, seramai 11,102 pelajar Malaysia sedang menuntut di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian dengan 7,570 daripada mereka di Universiti Al Azhar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia