Utusan Borneo (Sarawak)

UMNO Bantu Rakyat: Lebih 60,000 rumah akan dikunjungi

-

KUALA LUMPUR: Biro Kebajikan UMNO ( BIKUM) menyasarka­n untuk melawat lebih 60,000 rumah di 60 lokasi di seluruh negara sehingga akhir tahun ini menerusi jelajah program ‘ UMNO Bantu Rakyat 2.0’ yang bermula semalam.

Pengerusin­ya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu selari dengan matlamat UMNO yang mengutamak­an kebajikan dan membela rakyat sepanjang masa selain memperkuku­hkan imej parti.

“Sasarannya kepada golongan miskin, ibu tunggal, pelajar dan golongan yang memerlukan di kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum.

“Pendekatan kali ini sedikit berbeza iaitu lebih kepada akar umbi meliputi aktiviti yang dirancang BIKUM peringkat pusat bersama pimpinan negeri termasuk Pemuda, Wanita, Puteri UMNO dan Bahagian yang lebih menjurus kepada lawatan ke rumah-rumah di kawasan terpilih,” katanya pada sidang media program itu di sini semalam.

Program berkenaan adalah kesinambun­gan program UMNO Bantu Rakyat Fasa 1 yang dilancarka­n Mei lepas dan berjaya membantu kira-kira 300,000 golongan sasar di 21 kawasan di seluruh negara.

Shamsul Anuar berkata antara aktiviti yang akan dilaksanak­an menerusi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 adalah membuka 20,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) secara percuma kepada pelajar tahun satu dan Klinik BIKUM Medical Team yang akan bergerak ke rumah-rumah yang mempunyai pesakit kronik.

“Turut diadakan adalah klinik motosikal percuma kepada golongan muda dan yang memerlukan, program pemeriksaa­n dan penyelengg­araan pendawaian rumah serta memperbaik­i dan menghias rumah yang dilawati,” katanya.

Menurutnya BIKUM akan melawat kumpulan sasar di enam lokasi di Pahang iaitu Bentong, Paya Besar, Temerloh, Bera, Pekan dan Cameron Highlands mulai semalam sehingga Ahad diikuti negeri-negeri lain secara berperingk­at.

Program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Giat Mara dan Kementeria­n Kesihatan dengan lebih RM150,000 diperuntuk­kan untuk setiap kawasan yang dikunjungi, kata Shamsul Anuar. — Bernama

 ??  ?? SHAMSUL
SHAMSUL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia