Jet persendirian terhempas di Ataturk, 4 cedera
ISTANBUL: Sebuah jet persendirian terhempas dan terbakar kelmarin semasa melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang antarabangsa Istanbul, menyebabkan empat orang tercedera, kata pihak berkuasa.
Insiden itu menyebabkan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk dan ketika ia dibuka semula kemudian para penumpang masih lagi mengalami penangguhan.
Gabenor Istanbul Vasip Sahin berkata pesawat Cessna Citation itu membawa dua juruterbang, seorang kru dan seorang penumpang, semuanya adalah rakyat Turki.
“Keadaan mereka adalah baik, tiada kematian berlaku dan mereka sedang menjalani rawatan di hospital,” kata beliau, dipetik oleh agensi berita rasmi Anadolu.
“Ia menjejaskan penerbangan buat satu jangka masa singkat namun sekarang ia sudah kembali seperti sedia kala,” tambah beliau.
Sahin berkata pesawat bergerak laju di luar laluan dan terbakar namun para penumpangnya berjaya keluar dari pesawat tersebut.
Pengerusi syarikat penerbangan negara Turki, Turkish Airlines, Bilal Eksi menulis dalam Twitter bahawa trafik diteruskan dengan menggunakan satu laluan dan sekarang kedua-dua laluan boleh digunakan.
Laman sesawang lapangan terbang menunjukkan beberapa penangguhan diteruskan, terutama bagi penerbangan masuk.
Agensi berita Dogan (DHA) melaporkan pesawat itu berlepas dari lapangan terbang untuk terbang ke daerah pemisah di utara Cyprus, yang hanya diiktiraf oleh Turki.
Namun ia kembali mendarat di lapangan terbang disebabkan oleh satu masalah teknikal ketika ia terbabas dari laluan dan terbakar.
Tidak ada maklumat lanjut mengenai punca masalah pesawat tersebut.
Beberapa gambar menunjukkan keadaan pesawat yang rosak teruk di satu bahagian di lapangan terbang, diselaputi dengan busa bagi menghalang kebakaran dan kelihatan pecah dua.
Gambar-gambar lain menunjukkan kepulan asap hitam yang naik dari kawasan lapangan terbang.
Lapangan Terbang Ataturk merupakan salah satu hab paling sibuk di Eropah, menguruskan sehingga 1,500 ketibaan dan perjalanan sehari.
Trafik udara menjadi semakin pesat di Turki sejak beberapa tahun lepas dan lapangan terbang beroperasi dengan kapasiti penuh.
Pihak berkuasa merancang untuk membuka sebuah lapangan terbang besar baharu bagi Istanbul pada tahun depan yang akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk.