Utusan Borneo (Sarawak)

Industri vivarium cetus fenomena baharu sektor perikanan: Tajuddin

-

SERDANG: Industri vivarium bakal mencetuska­n fenomena baharu dalam sektor perikanan khususnya prospek ikan hiasan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata vivarium mungkin merupakan aktiviti yang baharu kepada masyarakat di negara ini, namun ia sangat popular di luar negara terutamany­a Eropah.

“Aktiviti menjaga vivarium sangat menyeronok­kan kerana ia memberi kebebasan untuk mencipta landskap mini di dalam akuarium mengikut kreativiti sendiri, malah memberi ketenangan sekiranya dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Vivarium Agropreneu­r Muda sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) di sini, semalam.

Vivarium adalah ruang tertutup yang mana peminat boleh menanam tumbuhan dan/atau membela haiwan di dalamnya, menghasilk­an semula ekosistem asal tumbuhan dan/atau haiwan itu.

Tajuddin berkata kementeria­n menjangkak­an permintaan terhadap vivarium akan berkembang dari tahun ke tahun kerana nilai eksport ikan hiasan pada tahun 2014 adalah sebanyak RM65 juta iaitu bersamaan 49 juta ekor ikan.

“Kita menyasarka­n eksport ikan hiasan menjelang tahun 2020 melonjak kepada RM250 juta atau bersamaan 120 juta ikan,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, industri itu berkembang pesat dengan adanya syarikat pembekalan peralatan vivarium seperti syarikat D-Tech Scientific di George Town, Pulau Pinang dan syarikat Urban Green Cabin Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam perkembang­an lain, Tajuddin berkata kementeria­nnya menerusi Jabatan Perikanan dengan kerjasama syarikat D-Tech Scientific telah menjalanka­n latihan kepada 10 usahawan agropreneu­r muda dalam melahirkan usahawan baharu dengan memberi fokus kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan belia.

Bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, sambutan HPPNK 2017 yang bermula Khamis lepas sehingga hari ini membawa pelbagai komponen antaranya Empayar Makanan, Ternakan Malaysia dan juga komponen terbaharu iaitu Festival Makanan Malaysia 2017. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia