Lelaki disyaki racun makanan bayi di Jerman ditangkap
FRANKFURT AM MAIN: Polis Jerman semalam mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 55 tahun yang disyaki meracun makanan bayi dan mengancam untuk mencemarkan produk lain di kedai-kedai di seluruh negara serta Eropah.
Lelaki terbabit telah ditahan para pegawai dekat Tubingen, selatan Stuttgart, susulan maklumat yang diterima daripada orang awam, menurut kenyataan bersama pasukan polis dan pendakwa raya persekutuan.
Pihak polis pada Khamis lalu telah memaklumkan kepada orang awam tentang risiko makanan diracuni dan menyatakan seseorang telah mengugut untuk melakukannya sekiranya tidak menerima wang tunai jutaan euro.
Pihak berkuasa mendedahkan rakaman kamera pemantauan yang memaparkan suspek yang digambarkan berusia sekitar 50- andan memakai topi putih serta bercermin mata, sekali gus menjurus kepada penahanan tersebut.
Untuk meningkatkan tuntutannya, suspek telah meracun lima produk makanan bayi dan minggu lepas memaklumkan polis lokasi kedai di mana ia diletakkan, di bandar selatan Friedrichshafen dekat Tasik Constance.
Makanan tersebut yang dicemari etilen glikol, bahan kimia dalam cecair antibeku dan cecair brek, telah berjaya dikeluarkan dari pasaran.
Hasil rakaman video pemantauan di kedai-kedai di mana balang makanan bayi itu dikenal pasti, polis berjaya mendapatkan imej jelas yang memaparkan muka suspek yang setakat ini tidak didedahkan identitinya lebih lanjut. — AFP