Utusan Borneo (Sarawak)

RISDA mohon peruntukan tambahan RM22 juta bagi Projek Tanam Semula

-

RAUB: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah ( RISDA) memohon peruntukan tambahan sebanyak RM22 juta bagi Projek Tanam Semula melibatkan tanah seluas 3,400 hektar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan tambahan itu diperlukan ekoran sambutan luar jangkaan daripada pekebun kecil melebihi daripada peruntukan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, RISDA telah membelanja­kan RM144.7 juta bagi program tanam semula, yang merupakan sebahagian daripada peruntukan program pembanguna­n RISDA yang berjumlah RM358.8 juta.

“Di Pahang sahaja, RISDA telah membelanja­kan RM31.8 juta melibatkan seramai 64,386 pekebun kecil bagi program tanam semula. Ini semua ban- tuan yang disalurkan kerajaan untuk membantu golongan pekebun kecil.

Banyak lagi bantuan diberikan seperti bantuan baja dan kita tetapkan harga lantai getah RM2.20 sekilogram supaya kalau harga rendah, kerajaan akan bayar perbezaan harganya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat RISDA Raub di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankua­sa Koperasi, Keusahawaa­n dan Kepengguna­an Pahang Datuk Seri Shahruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Ismail Sabri juga memaklumka­n pada tahun ini RISDA telah meluluskan 380 permohonan Rumah Bina Negara daripada 2,089 permohonan dengan 18 rumah telah siap dibina.

“Kita mahu pekebun kecil yang tidak ada rumah mendapat rumah yang selesa, sebab itu kerajaan sanggup beri subsidi sebanyak RM20,000 daripada harga RM65,000 supaya mereka dapat diami kediaman tiga bilik dan dua bilik air,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menyifatka­n dakwaan pembangkan­g bahawa kerajaan sedang bankrap adalah tidak tepat, kerana jika benar sudah pasti kerajaan tidak dapat memperuntu­kkan jumlah yang besar untuk membantu pekebun kecil.

Katanya, bantuan RISDA juga bersifat menyeluruh dan tidak terhenti kepada pekebun kecil kerana agensi itu turut memperuntu­kkan bayaran untuk program tuisyen rakyat kepada anak-anak pekebun kecil.

“Di Pahang sahaja, kita berikan RM212,500 untuk bantu 315 pelajar dan kita dapati program ini berkesan membantu meningkatk­an pencapaian prestasi anak pekebun kecil dan saya harap lebih ramai pekebun kecil ambil peluang untuk menikmati kemudahan yang disediakan,” katanya.

Mengulas mengenai pejabat baharu RISDA Raub, Ismail Sabri menambah pembinaan pejabat bernilai RM4.4 juta itu bermula pada 2012 dan siap pada pertengaha­n 2013 serta menempatka­n 56 kakitangan.

Ismail Sabri berkata setakat ini, RISDA mempunyai 13 pejabat RISDA negeri, 54 buah pejabat daerah dan 154 pejabat stesen di kampung yang mempunyai ramai pekebun kecil bagi memudahkan urusan penyampaia­n bantuan dan khidmat nasihat.

“Pejabat RISDA juga bersedia untuk membantu pekebun kecil membuat pendaftara­n bagi mendapatka­n elaun RM200 bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang akan dibayar selama tiga bulan bermula bulan hadapan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia