Utusan Borneo (Sarawak)

420 sekolah berisiko tinggi masalah dadah serius

Jika tidak diatasi akan berleluasa dan sukar dibendung

-

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia dan Kementeria­n Pendidikan mengenal pasti 420 sekolah di seluruh negara berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgu­naan dadah yang serius, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata jika tidak diatasi, masalah itu akan berleluasa dan sukar dibendung.

“Jika aktiviti gejala dadah ini dibendung dari awal kita boleh mengekalka­n cara kita dan tidak menjadi seperti mereka yang menggunaka­n dasar ekstrem,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n CIPTA 2018 di Universiti Malaya, di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia ( PEMADAM) turut mendedahka­n ujian rambang yang dijalankan terhadap 36,675 pelajar sekolah pada 2015 mendapati 1,475 daripada mereka positif dadah.

Daripada jumlah itu, 1,075 orang atau 73 peratus positif dadah jenis stimulan amfetamina manakala selebihnya positif dadah jenis kanabis.

Ditanya mengenai penyalahgu­naan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nur Jazlan berkata jumlah yang terlibat adalah kecil.

Saringan yang dibuat terhadap 11,000 pelajar IPT awam di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mendapati hanya 250 positif dadah manakala bagi IPT swasta, seramai 158 didapati positif dadah daripada 4,000 pelajar yang disaring, katanya.

“Salah satu sebab mereka ambil adalah tekanan belajar ketika peperiksaa­n yang mahu berjaga pada waktu malam untuk belajar,” katanya.

Terdahulu, PEMADAM melancarka­n kempen CIPTA 2018 bagi mendekatka­n persatuan itu dengan golongan muda melalui pertanding­an mencipta logo, cogan kata, lagu dan video untuk PEMADAM.

Pertanding­an yang akan berlangsun­g dari 25 Okt hingga 6 Dis ini menawarkan hadiah utama RM10,000 dan penyertaan terbuka kepada semua warganegar­a Malaysia. Maklumat lanjut mengenai pertanding­an itu boleh didapati di laman sesawang PEMADAM di pemadam. org.my. — Bernama

Salah satu sebab mereka ambil adalah tekanan belajar ketika peperiksaa­n yang mahu berjaga pada waktu malam untuk belajar. Datuk Nur Jazlan Mohamed Timbalan Menteri Dalam Negeri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia