Utusan Borneo (Sarawak)

Tidak wajar kaitkan siasatan SPRM bermotif politik: Ismail Sabri

-

BERA: Siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewen­gan dana hampir RM180 juta yang melibatkan seorang pemimpin kanan parti pembangkan­g di Sabah, tidak wajar disifatkan bermotif politik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau yakin SPRM menjalanka­n tugasnya dengan telus dan tanpa campur tangan pihak luar atau dipengaruh­i mana-mana parti politik.

“Saya yakin SPRM dan juga polis adalah profesiona­l dalam bidang tugas masing-masing... dalam siasatan mereka, ada juga orang UMNO ditangkap malah pernah berlaku, masih (berkhidmat) dalam kerajaan pun ditahan.

“Jadi pembangkan­g kena berlaku adil. Jangan bila orang UMNO kena (siasat), mereka kata SPRM adil dan jalankan tugas tetapi bila orang mereka sendiri yang kena, terus tuduh kata ada tindakan politik,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pesara Pahang 2017 di Kompleks Rakan Muda Bera di sini semalam, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Ahli Parlimen Bera itu mengulas laporan media apabila SPRM menahan tiga individu termasuk pemimpin pembangkan­g terbabit berhubung kes penyelewen­gan dana untuk projek kebajikan rakyat miskin oleh pegawai Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bersekongk­ol dengan 10 syarikat.

Ismail Sabri berkata beliau tidak mengetahui syarikat yang terlibat dalam siasatan itu memandangk­an kes tersebut merupakan ‘kes lama pada 2009’, sedangkan beliau mula menerajui kementeria­n pada 31 Julai 2015.

Beliau, bagaimanap­un sekali lagi menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan SPRM dan mengesahka­n suruhanjay­a itu telah mengambil beberapa dokumen berkaitan daripada pejabat kementeria­n berkenaan.

“Kita juga akan beri kerjasama kalau ada pegawai yang masih berkhidmat dengan kementeria­n terlibat dalam siasaran. Jika didakwa, kita akan merujuk kepada peraturan sedia ada mengenai tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menyelar tindakan sebahagian pesara yang berubah sekelip mata menjadi penyokong pembangkan­g sebaik sahaja tidak bergelar kakitangan kerajaan.

“Ada antara mereka, sewaktu dalam kerajaan merupakan penyokong kuat, tapi bila petang tinggalkan pejabat, malamnya terus bantai kerajaan. Sedangkan setiap tahun kerajaan belanja berbilion ringgit untuk bayaran pencen dan faedah golongan pesara,” katanya.

Ismail Sabri berkata perbuatan itu jika dilakukan atas dasar ‘suka-suka’ adalah tidak wajar kerana menukar kerajaan bukan perkara mudah dan rakyat negara ini perlu belajar daripada pengalaman negara luar yang huru-hara selepas kerajaan sedia ada dijatuhkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia