Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki cedera di bahu akibat ditikam lelaki Myanmar

-

JOHOR BAHRU: Hasrat empat sekeluarga untuk menikmati makan malam bertukar detik hitam apabila seorang daripada mereka cedera ditikam seorang lelaki Myanmar dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Nusa Bestari, Taman Nusa Bestari, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.55 pagi itu menyebabka­n mangsa, seorang lelaki berumur 30-an cedera pada bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam mendapati, suspek iaitu lelaki Myanmar berusia lingkungan 20- an terbabit sudah terbaring dengan berlumuran darah pada bahagian muka.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai minum di sebuah restoran berhampira­n sebelum mabuk dan tidak dapat mengawal diri lalu bertindak menendang kenderaan mangsa.

“Mangsa yang mahu ke restoran bersama bapa saudara, abang ipar dan kakak untuk makan malam cuba menenangka­n suspek, namun, suspek bertindak menikam bahu mangsa sebelum suspek kemudian dipukul orang ra- mai yang tidak berpuas hati dengan tindakan menyerang mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini semalam.

Noor Hashim berkata suspek dikejarkan ke hospital sama dan hasil pemeriksaa­n terhadapny­a gagal menemukan sebarang dokumen pengenalan diri. Beliau berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan dengan senjata berbahaya.

“Suspek masih lagi tidak sedarkan diri sehingga sekarang akibat diberi ubat pelali dan tidak boleh bercakap akibat kecederaan di muka. Jadi, polis akan tunggu dan mendapatka­n laporan sebaik sahaja suspek sedarkan diri,” jelasnya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 22 dan 40 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang kerana disyaki melakukan jenayah ugutan.

Beliau berkata kejadian berlaku pada jam 10.15 pagi kelmarin di Taman Bukit Indah, di sini, yang mana kesemua suspek yang menaiki kereta Honda Accord dan Proton Wira bertindak mengugut seorang lelaki berumur 44 tahun.

“Keempat-empat mereka menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang dengan sebuah syarikat yang mana syarikat tersebut telah melantik suspek untuk mengutip hutang berjumlah RM650,000 daripada mangsa.

“Mangsa menyatakan bahawa dia tidak pernah berhutang yang menyebabka­n empat lelaki berkenaan bertindak menghalang laluan di hadapan rumah mangsa serta menimbulka­n kekecohan selain mengugut akan kembali ke rumah itu dan berjumpa isteri mangsa sekiranya wang tersebut tidak dibayar,” katanya.

Menurut Noor Hashim, bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa pada jam 11.33 pagi kelmarin, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri berjaya menahan keempat-empat suspek di kawasan perumahan sama, jam 3 petang kelmarin.

Polis turut merampas kedua-dua kereta suspek dan dua telefon bimbit manakala ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif terhadap dadah.

Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang mana sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia