Utusan Borneo (Sarawak)

Feri laluan masuk dadah ke Langkawi

-

LANGKAWI: Siapa sangka Langkawi yang merupakan destinasi pelanconga­n terkenal, namun merupakan daerah di Kedah yang mencatatka­n jumlah tangkapan tertinggi bagi kes penyalahgu­naan dadah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang berkata seramai 758 orang diberkas dalam tempoh antara Januari dan September tahun ini dengan 118 orang disyaki terlibat mengedar dadah.

Beliau berkata, siasatan terhadap 593 kes yang dicatatkan setakat ini, heroin merupakan dadah paling banyak dirampas.

Turut mengejutka­n apabila perkhidmat­an feri yang berulang-alik antara tanah besar dan pulau ini dilaporkan turut menjadi mode pengangkut­an dadah.

“Kita telah mengenal pasti feri-feri ini menjadi laluan yang sering digunakan untuk membawa masuk dadah ke Langkawi sama ada dari Kuala Kedah, Kuala Perlis atau pun Satun (Thailand),” katanya.

Sehubungan itu Che Ghazali berkata pihak polis telah menjalanka­n operasi ujian saringan dadah dalam kalangan pekerja syarikat feri.

Beliau berkata, cadangan untuk memasang sebuah lagi alat pengimbas telah dikemukaka­n kepada pihak pengurusan Jeti Penumpang Kuah bagi mengimbas penumpang yang baharu tiba.

“Setakat ini hanya ada sebuah alat pengimbas yang dipasang di laluan keluar pulau melalui jeti dan dengan adanya sebuah lagi alat pengimbas di laluan masuk, kita dapat membendung kemasukan bahan terlarang ini ke Langkawi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Polis Langkawi membantera­s kegiatan penyalahgu­naan dadah menerusi program berterusan Jihad Perangi Dadah turut menyumbang kepada penurunan kes yang dikategori­kan di bawah jenayah indeks. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia