Utusan Borneo (Sarawak)

Maut akibat dihempap khemah kenduri

-

PARIT: Seorang remaja maut akibat dihempap khemah selepas sebatang pokok kelapa sawit yang dikatakan berusia 20 tahun tumbang pada majlis kenduri tahlil di Kampung Bukit Chawi di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.25 petang itu, Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil Shah dikatakan sedang mengambil makanan.

Dia dihantar ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap dan disahkan meninggal dunia.

Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Changkat Melintang. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

Adik mangsa Mohamad Shahril, 12, berkata dia bersama abangnya serta dua lagi rakan mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil makanan.

“Tiba-tiba ada pokok kelapa sawit tumbang mengenai khemah lalu menghempap kami, tetapi abang lebih teruk kerana kepalanya terkena pokok dan besi khemah sebelum dia jatuh seperti sedang bersujud.

“Saya hanya mengalami luka kecil, manakala dua lagi rakan kami cedera dan turut dirawat di hospital,” katanya.

Ibu mereka Hafizah Paed, 33, berkata anak sulung dari enam beradik itu sebelum itu meminta izin untuk pergi ke majlis kenduri tersebut yang tidak jauh dari rumah mereka. “Memang saya rasa berat hati untuk membenarka­n dia pergi kerana ketika itu hari hujan selain tetamu lain sudah pulang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia