Utusan Borneo (Sarawak)

Semua calon diberi ruang bertanding asalkan mendapat sokongan rakyat

-

KUALA NERANG: Badan Perhubunga­n UMNO Kedah sedang meneliti bakal-bakal calon Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan mengambil kira tahap sokongan yang diterima daripada pengundi di kawasan tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah berkata, semua calon layak dipilih dan diketengah­kan, namun yang lebih penting mestilah mendapat sokongan dan disukai untuk diletakkan sebagai calon di sesebuah kawasan.

“Kita telah mengenal pasti dan tengah menilai semua bakal calon dan siapa yang mendapat sokongan dari pengundi kita akan pertimbang­kan untuk bertanding di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) dan 15 kawasan Parlimen,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Pengeluara­n dan Pengembang­an Benih Cendawan Volvarela di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang Datuk Badrol Hisham Hashim serta ADUN Pedu Kama Noriah Ibrahim.

Terdahulu, Ahmad Bashah serta kepimpinan UMNO bahagian menghadiri sarapan pagi bersama rakyat setempat sebelum melakukan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka untuk melihat persiapan jentera UMNO di cawangan itu.

Ahmad Bashah pada sidang medianya sebelum ini berkata, UMNO negeri telah menerima senarai nama calon untuk diteliti sebelum diputuskan oleh pihak tertinggi UMNO pusat termasuk nama-nama dari kalangan Wanita UMNO yang mendapat sokongan pengundi di kawasan tersebut.

Ahmad Bashah berkata, tidak menjadi kesalahan untuk meletakkan calon wanita bertanding di mana- mana kawasan pilihan raya jika calon yang mewakili parti Barisan Nasional (BN) itu boleh memenangka­n parti.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, UMNO negeri kini dalam rangka untuk mengadakan lawatan seterusnya ke bahagian-bahagian lain di negeri ini bagi melihat tahap persiapan khususnya di PDMPDM berada pada tahap yang baik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia