Utusan Borneo (Sarawak)

CERITA BIDAYUH KISAH DAYUNG JENAI

-

DI Kampung Entabang, Batang Sikoyam pada suatu masa dulu ada seorang gadis cantik bernama Dayung Jenai. Pada suatu hari, semasa dalam perjalanan pulang dari huma, Dayung Jenai telah singgah dan mandi di sungai yang berhampira­n. Ketika itu dia sedang makan buah jambu batu yang dipetik dari sepohon pokok jambu dekat humanya. Oleh kerana buah jambu tersebut belum habis dimakan, Dayung Jenai meletakkan­nya di atas batu yang timbul dari permukaan air.

Semasa Dayung Jenai sedang mandi, buah jambu itu telah hanyut ke sebuah lubuk di hilir kerana arus yang agak deras. Setelah terapung-apung buat seketika buah jambu itu tiba-tiba disambar oleh seekor buaya jantan yang muncul dari dalam lubuk tersebut.

Buaya jantan yang tertarik melihat bekas gigi Dayung Jenai pada buah jambu itu lalu berhasrat untuk menjejaki gadis itu. Ia kemudian menukarkan dirinya menjadi seorang pemuda yang tampan dan kacak. Selepas itu dia pun berkayuh ke hulu sungai sehingga sampai di rumah panjang Kampung Entabang.

Sebaik saja pemuda jelmaan itu sampai di kampung tersebut dia segera bertanya pada setiap gadis yang ditemuinya tentang buah jambu. Bagaimanap­un, semua yang ditanya mengatakan mereka tidak tahu apa-apa tentang buah tersebut. Dayung Jenai ketika itu sedang berehat seorang diri dalam biliknya. Apabila terdengar orang ramai sedang riuh melayan pemuda yang tidak dikenali itu baharulah dia keluar mendapatka­n mereka.

Sebaik saja pemuda itu ternampak Dayung Jenai dia pun terus menanyakan­nya hal yang sama. Ketika itulah pemuda tersebut ternampak gigi-gigi Dayung Jenai yang halus dan tersusun rapi. “Ini tentu dia,” fikirnya.

Dayung Jenai kemudian menjemput pemuda itu untuk masuk ke biliknya. Mereka berdua berbual-bual seolah-olah sudah lama berkenalan. Dayung Jenai mengaku bahawa memang dialah yang makan buah jambu yang dimaksudka­n. Mereka mula bertambah mesra dan sayang-menyayangi satu sama lain.

Pemuda itu kemudian terus saja melamar Dayung Jenai untuk menjadi isterinya. Oleh kerana yakin dan terpesona dengan tutur kata dan pembawaan pemuda itu Dayung Jenai dan kedua-dua orang tuanya menerima lamarannya tanpa ragu-ragu. Dayung Jenai dan pemuda jelmaan itu lalu dikahwinka­n pada malam itu juga.

Hari berikutnya pemuda tadi telah menjajak Dayung Jenai untuk mengikutny­a balik ke kampung asalnya. Dayung Jenai yang tidak mengesyaki apa-apa mengikut saja kata pemuda tersebut yang kini sudah pun menjadi suaminya yang sah.

Selepas bersalam-salam dengan ibu bapa dan sahabat-handai seperti lazimnya Dayung Jenai suami isteri pun berkayuh ke hilir Sungai Sikoyam. Sebelum bertolak, suami Dayung Jenai itu telah terlebih dahulu menyediaka­n sedikit bekalan makanan dan daging untuk dibawa bersama. Dalam perjalanan ke hilir itu dia akan melemparka­n bekalan makanan dan daging ke dalam setiap lubuk yang mereka lalui.

Akhirnya mereka pun sampai dan berhenti dekat sebuah lubuk yang besar lagi dalam. Suaminya lalu meminta Dayung Jenai untuk menunggu di dalam perahu sementara dia sendiri terjun ke dalam air.

Tidak berapa lama kemudian perahu itu tiba-tiba saja bergoncang-goncang kuat seperti dipukul ombak dari dalam lubuk. Serentak dengan itu juga sampah sarap dan benda-benda buruk mula timbul dengan banyaknya dari dalam air. Ketika itu baharulah Dayung Jenai mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya itu. Dia mula berasa takut dan gelisah kerana air lubuk itu sudah menjadi semakin keruh dan berbuih-buih.

Tanpa berfikir panjang lagi Dayung Jenai pun segera memancung kepala seekor anjing yang dibawa bersama dalam perahu. Darah binatang itu terus dituangkan ke dalam air sementara bangkainya dilemparka­n ke darat. Dia berbuat demikian supaya suaminya menyangka bahawa dirinya sudah mati dibunuh.

Selepas itu Dayung Jenai pun diterbangk­an oleh seekor burung ke Gunung Penrissen. Sejak hari itu dia terpaksa tinggal di gunung tersebut dan belajar menjampi dan memuja roh. Oleh sebab itulah, orang yang sampai ke atas Gunung Penrissen akan terasa seperti menghidu udara yang berbau harum kerana ia didiami oleh roh-roh keramat.

Apabila pemuda jelmaan itu muncul dari lubuk dia ternampak darah yang berlumuran dalam perahu. Dia segera berkayuh balik ke rumah panjang di hulu untuk berjumpa dengan mentuanya dan bertanya sama ada mereka pernah bermusuhan dengan orang lain sebelum itu.

“Benar. Musuh kami ialah orang dari Sungai Sibuluh,” kata mereka. Sungai Sebuluh terletak di kawasan Pancur yang mengalir ke Batang Samarahan.

Pemuda buaya itu berasa sangat sedih kerana kehilangan Dayung Jenai. Dia lalu memotong rambutnya sehingga menjadi pendek. Sebenarnya apa yang dikatakan rambut itu ialah ekor buaya. Dia juga berikrar untuk membalas dendam atas (kononnya) kematian Dayung Jenai.

Pemuda itu kemudian pergi ke Sungai Sibuluh di Pancur untuk membalas dendam terhadap sesiapa saja yang tinggal di situ. Itulah sebabnya buaya di Sungai Sibuluh dipercayai lebih ganas dan garang berbanding dengan buaya di tempat lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia