Utusan Borneo (Sarawak)

IBU MELACURKAN ANAK UNTUK LUNAS HUTANG

-

LAWAS: Seorang wanita ditahan di Jalan Liaw Kim Liu di sini semalam selepas disyaki melacurkan anak kandung bawah umur untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki bagi melunaskan hutangnya.

Wanita berusia 30 tahun itu ditangkap pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lawas diketuai Inspektor Masri Lamsin sekitar jam 2.15 petang.

Polis pada hari sama iaitu sekitar jam 3 petang turut menahan seorang lagi wanita berumur 45 tahun merupakan pemilik karaoke di Jalan Haji Matussin di sini.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan berkata, mangsa semasa bekerja sebagai pelayan di sebuah karaoke di Lawas telah dipaksa ibu kandung dan pemilik karaoke tersebut mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki tidak dikenaliny­a.

“Ibu mangsa dikatakan menanggung hutang yang banyak dan meminta mangsa mengikut lelaki berkenaan ke sebuah hotel di Lawas,” katanya sambil menambah, mangsa melihat lelaki itu membayar wang RM1,000 kepada pemilik karaoke.

Dev berkata, kejadian itu berlaku pada April lalu di mana mangsa mendakwa lelaki berkenaan merogolnya sebanyak tiga kali di sebuah bilik hotel tersebut.

Jelas Dev, mangsa hanya keluar dari hotel pada keesokan harinya tanpa menceritak­an kejadian kepada sesiapa.

Bagaimanap­un, selepas ketua kampung mengetahui­nya, beliau membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Lawas sekitar jam 10.55 pagi semalam.

“Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti lelaki didakwa merogol mangsa,” katanya. “Kedua-dua suspek yang ditangkap akan dibawa ke Pejabat Daerah Lawas pagi esok (hari ini) untuk permohonan reman,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1)(a) & (d) Akta Kanak-Kanak 2001.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia