Utusan Borneo (Sarawak)

Eksibit kes bunuh Kim Chol dibuka di Jabatan Kimia

Menjaga keselamata­n kerana agen saraf VX masih aktif

-

PETALING JAYA: Eksibit atau barang kes terdiri daripada baju T tertulis nama dua tertuduh yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dan keratan kuku, dikemukaka­n di Jabatan Kimia Malaysia di sini, semalam bagi tujuan pengecaman.

Proses pengecaman barang kes berkenaan yang disimpan dalam sebuah plastik yang dilakri, dilakukan di dalam bilik makmal di jabatan berkenaan atas faktor keselamata­n.

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh kedua, Doan Thi Huong, warga Vietnam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, berkata proses pengecaman berlangsun­g selama hampir sejam dan semua yang berada di dalam makmal diarah memakai pakaian pelindung bahan kimia dan topeng pernafasan.

Beliau berkata, pihak yang berada dalam makmal bagi proses pengecaman itu ialah Doan, peguam S.Selvi yang mewakili tertuduh pertama Siti Aisyah iaitu warga In- donesia, dua pengawal keselamata­n dan Dr. S. Raja iaitu Ketua Makmal Pusat Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azmi Ariffin yang mendengar perbicaraa­n itu dan pihak pendakwaan serta peguam lain berada di luar makmal.

Sementara itu, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah pula berkata blazer mangsa (Kim Chol) tidak dapat dibuat pengecaman kerana ia telah dihantar ke Korea Utara.

“Kami percaya blazer itu barang bukti yang penting kerana terdapat agen saraf VX padanya. Kami akan bangkitkan isu ini semasa hujahan, (tentang kenapa blazer ini tidak dikemukaka­n sebagai eksibit),” katanya.

Ketika ditanya mengapa Siti Aisyah tidak masuk ke dalam makmal berkenaan, Gooi berkata ia tidak perlu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddi­n Wan Ladin pula berkata, prosiding petang semalam ditangguh ke hari ini kerana Dr Raja yang akan menyambung keterangan­nya semalam, tidak sihat.

Pada Khamis lepas, mahkamah menetapkan untuk menyambung perbicaraa­n kes itu pada petang semalam selepas pihak-pihak yang terlibat selesai membuat pengecaman barang kes tersebut.

Pengamal media tempatan dan antarabang­sa mula berkumpul di luar perarangan jabatan berkenaan seawal jam 6 pagi.

Pada prosiding Khamis lalu, Dr.Raja yang merupakan saksi kelapan memberikan keterangan berhubung barang kes terbabit, menyaranka­n supaya barang kes itu dibuka di Jabatan Kimia bagi tujuan keselamata­n berikutan agen saraf VX yang aktif masih didapati pada dua baju T dan serpihan kuku berkenaan.

Tertuduh Siti Aisyah, 25, dan Doan, 28, yang memakai baju kurung semalam tiba di jabatan berkenaan pada jam 9.30 pagi diiringi pihak polis.

Kedua-dua wanita itu didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi, 13 Feb lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — Bernama

Kami percaya blazer itu barang bukti yang penting kerana terdapat agen saraf VX padanya. Kami akan bangkitkan isu ini semasa hujahan, (tentang kenapa blazer ini tidak dikemukaka­n sebagai eksibit). Gooi Soon Seng Peguam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia