Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu kanak-kanak dirantai perlu jalani kaunseling

-

KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dirantai pada sebuah tong gas Khamis lepas perlu bertemu kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) untuk berkongsi masalah yang dihadapi, kata Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata perbincang­an dengan kaunselor penting bagi memastikan apa juga masalah yang dihadapi dapat diselesaik­an dengan baik.

“Dia boleh bertemu dengan kaunselor JKM untuk bercerita dan berkongsi apa masalah sebenar,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pegawai kanan Bernama di Wisma Bernama,di sini semalam.

Mangsa, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, ditemukan dalam keadaan lehernya diikat pada tong gas menggunaka­n rantai dan kunci mangga selepas polis memecah masuk sebuah rumah di Indera Mahkota 1, Kuantan pada Jumaat.

Mangsa yang kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dikatakan diperlakuk­an begitu oleh bapa tirinya yang merupakan seorang anggota tentera kerana pulang lewat.

Media turut melaporkan, ibu kanak-kanak itu berada dalam ketakutan kerana dikecam anggota masyarakat akibat kes berkenaan sehingga enggan keluar dari rumahnya selepas dibebaskan daripada tahanan reman.

Bagi meredakan isu itu, Shahaniza turut meminta anggota masyarakat supaya tidak mengganggu keluarga berkenaan dan menyerahka­n kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan.

“Ini kerana kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Walaupun betul kita jumpa anak itu dirantai lehernya, tetapi biarlah mahkamah yang menentukan­nya nanti.

“Mungkin ibu ini dia nak keluar rumah jenguk anak-anak. Kalau kita pandang serong, kita mengecam mungkin akan mencetuska­n masalah lain nanti,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Shahaniza berkata lawatannya ke Bernama semalam antara lain untuk berbincang kerjasama yang boleh dilaksanak­an antara kerajaan negeri dan agensi berita itu.

“Kita berbincang serba sedikit tentang kerjasama yang boleh kita laksanakan untuk ‘highlight’ apa-apa aktiviti yang berkaitan supaya masyarakat dapat mengetahui lebih banyak agenda atau aktiviti kerajaan yang lebih tepat dan pantas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia