Utusan Borneo (Sarawak)

Eksport buah-buahan segar dijangka meningkat kepada lebih RM700 juta

-

KUALA LUMPUR: Jumlah eksport buah-buahan segar, termasuk durian, nanas dan nangka, dijangka meningkat kepada lebih RM700 juta tahun ini berbanding hampir RM600 juta pada tahun lepas, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA).

Pengerusin­ya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata nilai eksport durian sahaja dijangka sekurang-kurangnya berjumlah RM150 juta berbanding RM74.39 juta yang dicatat pada tahun lepas.

Beliau berkata sasaran eksport berkenaan bagaimanap­un bergantung kepada hasil pengeluara­n pokok yang banyak dipengaruh­i oleh cuaca.

“Kami jangka lebih banyak dusun durian mengeluark­an buah durian berkualiti tinggi, (buah-buah ini) kita akan eksport ke lebih banyak negara seperti China, Hong Kong, Australia dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantar­an durian sejuk beku ke Qinzhou, Guangxi, China semalam.

Durian kategori Musang King yang dihantar ke China itu adalah bersempena Festival Durian Naning 2017, yang julung kali diadakan.

Badruddin berkata nilai eksport durian ke China dijangka meningkat kepada RM23.4 juta tahun ini berbanding RM18.02 juta tahun lalu.

Selain China, beliau berkata FAMA turut mengekspor­t durian ke Singapura, Hong Kong, Indonesia, Australia dan lain-lain.

FAMA menyasarka­n beberapa pasaran eksport baharu seperti Kanada dan Korea Selatan untuk musim durian yang seterusnya.

“Apabila mahu buka pasaran baru, kita perlu pastikan bekalan sentiasa mencukupi apabila dikehendak­i oleh pasaran itu,” tambah beliau.

Badruddin berkata industri eksport durian menjanjika­n pulangan yang lumayan dengan kos pelaburan yang pendek sehingga lima tahun.

Beliau berkata produk akhir berasaskan durian seperti aiskrim dan kopi menjadi kegemaraan dan trend generasi muda pada masa kini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia