Utusan Borneo (Sarawak)

Pendapatan isi rumah bulanan penengah naik 6.6 peratus pada 2016

-

PUTRAJAYA: Pendapatan isi rumah bulanan penengah rakyat Malaysia meningkat 6.6 peratus kepada RM5,228 pada 2016 daripada RM4,585 pada 2014, demikian menurut Ketua Perangkawa­n Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, pendapatan isi rumah bulanan purata bagi Malaysia pula meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 semasa 2014.

“Walaupun pendapatan isi rumah penengah dan purata itu meningkat lebih tinggi pada 2016, ia bagaimanap­un bergerak pada kadar sederhana disebabkan prestasi ekonomi yang lebih rendah berbanding 2014,” katanya semasa melancarka­n Statistik Pendapatan dan Perbelanja­an Isi Rumah Malaysia 2016 di sini, semalam.

Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kumpulan berpendapa­tan 40 peratus pertengaha­n ( M40) merekodkan kadar pertumbuha­n tahunan tertinggi iaitu 6.9 peratus kepada RM6,502 pada 2016 daripada RM5,662 pada 2014.

Keseluruha­nnya, pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua kumpulan iaitu berpendapa­tan 40 peratus rendah, M40 dan kumpulan berpendapa­tan 20 peratus tinggi masing-masing meningkat 6.6 peratus, 6.9 peratus dan 6.2 operatus pada 2016 daripada 2014.

Tujuh negeri merekodkan pendapatan isi rumah bulanan penengah yang melebihi paras nasional ( RM5,228) iaitu Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur (RM9,073) diikuti Wilayah Persekutua­n Putrajaya (RM8,275), Selangor (RM7,225), Wilayah Persekutua­n Labuan (RM5,928), Johor ( RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409).

Dari segi pengagihan pendapatan, Mohd Uzir berkata Pekali GINI menurun kepada 0.399 peratus pada 2016 daripada 0.401 peratus pada 2014, dan ia menunjukka­n pengagihan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia bertambah baik.

Pekali GINI – satu daripada indikator yang digunakan untuk mengukur tahap ketidaksam­aan agihan pendapatan dalam masyarakat – berada pada sifar menandakan keseimbang­an yang terbaik, dengan kesemua nilai adalah sama (contohnya setiap individu mempunyai pendapatan yang sama).

Nisbah ketidaksam­aan pendapatan juga meningkat, dengan nisbah antara luar bandar dan bandar adalah 1:1.76 pada 2016 berbanding 1:1.78 pada 2014.

Insiden kemiskinan keseluruha­n bertambah baik dengan mencatat penurunan kepada 0.4 peratus pada 2016 daripada 0.6 peratus pada 2014.

Ketika membentang­kan hasil dapatan, Mohd Uzir berkata kajian itu turut meliputi data daripada peringkat daerah.

“Buat kali pertama, kami merangkumi data daripada daerah semua negeri. Ia boleh digunakan untuk membantu kerajaan negeri, pejabat daerah dan pertubuhan merancang serta menangani isu pembanguna­n sosial dan ekonomi secara lebih cekap,” katanya.

Sementara itu, dari segi perbelanja­an penggunaan isi rumah, rakyat Malaysia membelanja­kan secara purata RM4,033 setiap bulan, meningkat 6.0 peratus daripada RM3,578 sebulan pada 2014.

“Hampir 70 peratus dibelanjak­an untuk empat kumpulan utama iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (24 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (18 peratus); pengangkut­an (13.7 peratus); serta restoran dan hotel (13.4 peratus).

“Senario ini adalah seiring dengan komposisi corak perbelanja­an negara maju.

“Memandangk­an persekitar­an ekonomi yang mencabar dan ketidakten­tuan harga barangan di dalam negara, ini memberi kesan ke atas pendapatan dan perbelanja­an rakyat Malaysia yang positif.

“Ia menunjukka­n bahawa Malaysia berada di landasan yang baik untuk mencapai aspirasi Transforma­si Nasional 2050, walaupun mencatatka­n kadar inflasi lebih tinggi pada 3.5 peratus pada Ogos,” katanya.

Siri laporan kajian ke-18 melibatkan 85,400 premis isi rumah di seluruh negara itu dijalankan dari Mei 2016 hingga April 2017.

Layari www. dosm. gov. my untuk maklumat lanjut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia