Dewanita DUBS lawat Bangkok, teroka potensi perniagaan
KUCHING: Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) mengadakan lawatan ke Bangkok bagi meneroka potensi rangkaian kerjasama perniagaan di negara itu.
Lawatan kerja yang bermula pada hari ini (11 Oktober) hingga 18 Oktober itu akan diketuai Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak merangkap Penaung Dewanita Dato Sri Fatimah Abdullah.
“Rombongan ini terdiri daripada 18 orang dan setiap daripada ahli yang terlibat mempunyai perniagaan atau produk yang berbeza untuk dibawa ke sana.
“Mereka berharap dapat mencapai rangkaian kerjasama, business matching, selain mendapat idea baharu dalam membangunkan produk yang dihasilkan,” katanya.
Fatimah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada rombongan Dewanita DUBS yang diketuai Pengerusi Dewanita Juita Drap dan Pengarah MATRDE Sarawak Leany Mokhtar di pejabatnya di sini, semalam.
Sementara itu Juita berkata, antara objektif lawatan adalah meningkatkan lagi pengetahuan di kalangan ahli bersama rakan mereka di Bangkok, iaitu persatuan wanitanya.
“Persatuan Wanita mereka merupakan persatuan yang profesional di sana.
“Kami mahu meneliti dan meneroka produk baharu yang boleh kami kerjasama selain membawa produk dari sini untuk dipasarkan di sana,” katanya.
Juita memberitahu mereka juga berharap dapat mempelajari e-dagang daripada negara itu yang disifatkan lebih ke hadapan.
Katanya dengan itu diharap rakan mereka di sana berkongsi idea baharu dari segi teknologi usahawan.
“Kami mahu mempelajari bagaimana mereka berniaga atas talian yang mungkin boleh kita guna pakai,” katanya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad.