Golongan muda perlu kekal semangat hormati warga tua
MARUDI: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala mengingatkan masyarakat khususnya golongan muda agar mengekalkan semangat menghormati warga tua dan jangan beranggapan mereka sudah tidak berguna lagi.
Beliau berkata, ini kerana masyarakat perlu mengenang jasa dan mengingati semula perjuangan mereka dan segala usaha yang mereka curahkan dalam membantu membangunkan pekan Marudi seperti yang dikecapi hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata, golongan warga emas dahulu membangunkan Marudi dan siapa kita hari ini justeru adalah wajar kita memberi penghormatan terhadap hasil kerja keras mereka pada masa dahulu.
“Kita harus mengekalkan semangat menghormati warga tua dan jangan anggap mereka sudah tidak berguna, sebaliknya harus mengingati sumbangan mereka membina kemajuan dan pembangunan di pekan Marudi,” katanya pada majlis makan malam meraikan warga emas anjuran Persatuan Hokkien Baram di Dewan Suarah Baram, malam kelmarin.
Gerawat turut memohon masyarakat Cina di Marudi dan Poyut/Nibong supaya kembali semula ke tempat asal dan membangunkan tanah sedia ada di tempat kelahiran mereka dalam usaha merancakkan pembangunan di pekan tersebut.
Menurutnya, ramai mereka berasal dari Poyut/Lubok Nibong sudah berhijrah ke Miri dan beliau menasihati mereka balik ke Marudi dan memajukan ekonomi serta perniagaan di tempat asal mereka.
“Untuk mendapatkan idea terbaik daripada ahl- ahli, mereka harus mengetepikan perbezaaan politik dan mengambil jalan tengah demi pembangunkan masyarakat Cina khususnya Hokkien di Marudi,” katanya.
Gerawat berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg semasa lawatannya ke Baram sempena regata turut menyuarakan hasrat mempertimbang pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Baram di Kuala Ridan.
“Jika hasrat tersebut diluluskan maka kita tidak memerlukan perkhidmatan feri lagi menyeberangi sungai dan perjalanannya semakin lancar,” jelas beliau.
Pada majlis tersebut, Gerawat mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Hockien Baram manakala Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil turut mengumumkan geran sama berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Hockien itu.
Sementara itu, warga emas tertua sekali bagi kaum lelaki ialah Chua Ho Yong, 82, dan Voon King Hwong, 89, bagi warga emas wanita diberi penghargaan dan angpau oleh persatuan diwakili Pemanca Chong Chin Hui dan isteri.
Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii, Pengerusi Majlis Daerah Marudi (MDM) Edward Mendai dan Pegawai Penerangan Marudi Joseph James.