Langkah pemuliharaan spesies marin terancam dilakukan secara terperinci
MIRI: Semua langkah pencegahan, pemuliharaan dan pengawalan spesies marin terancam termasuk ikan yu dilakukan secara terperinci dan berdasarkan kepada panduan sudah digariskan oleh kerajaan di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia.
Pengarah Jabatan Perikanan Sarawak Belayong Nyuk berkata di bawah pelan tindakan dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Perikanan Malaysia itu, kajian terperinci dilakukan sebelum spesies disenaraikan kategori terancam.
Di bawah pelan sama, undang-undang iaitu Peraturan- Peraturan Perikanan ( Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 turut dikuatkuasakan bagi spesies disenaraikan dalam kategori terancam di negara ini.
“Justeru, adalah tidak wajar sesetengah pihak mengatakan seolah-olah kami tidak mempunyai garis panduan kerana sememangnya sudah ada garis panduan perlu diikuti dan dipatuhi berdasarkan kajiankajian dilakukan oleh pakar.
“Bagi pengurusan ikan yu turut tertakluk kepada Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia (Untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Ikan Yu (Pelan 2) diguna pakai agensi berkaitan di seluruh negara,” katanya ketika membidas kenyataan Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Iqbal Abdollah seperti disiarkan di akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini semalam, beliau berkata pihak terbabit atau mana- mana pihak perlu mendapatkan pengesahan dan maklumat sahih daripada Jabatan Perikanan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Belayong berkata, ikan yu harimau atau nama saintifiknya Stegostomatidae seperti didedahkan oleh Iqbal dalam kenyataannya bukan dalam senarai spesies terancam di Malaysia walaupun ada beberapa badan di dunia meletakkan sebagai kategori terancam.
“Kita ada garis panduan kita sendiri untuk senaraisenarai spesies terancam berdasarkan kajian terperinci dilakukan. Sudah ada peran- cangan menyenaraikannya sebagai terancam, tetapi tidak pada masa ini,” katanya.
Tambahnya daripada 34 keluarga ikan jerung atau yu, di Malaysia hanya 17 keluarga dengan 63 spesies hidup atau terdapat di perairan negara daripada 541 spesies terdapat di seluruh dunia.
Sebaliknya di Malaysia, terdapat lapan spesies yu disenaraikan sebagai terancam iaitu yu paus atau jerung paus ( Rhinocodon typus Smith) dan tujuh jenis yu gergaji juga di bawah keluarga pari iaitu Anoxypristis Cuspidata; Pristis Clavata; Pristis Microdon; Pristis Pectinata; Pristis Perotteti; Pristis Pristis dan Pristis Zijsron.
Selain kumpulan yu di atas turut disenarai sebagai spesies terancam di Malaysia ialah dugong, enam jenis paus dan 13 jenis ikan lumba-lumba.
Belayong berkata selain melaksanakan pelan tindakan pengurusan dan pengawalan ikan yu terancam, jabatan itu turut melaksanakan kempen kesedaran secara berterusan seperti mendidik nelayan menggunakan kaedah penangkapan ikan secara mapan dan betul tidak menjadikan sesuatu spesies itu pupus atau terancam.
“Satu lagi kempen popular dan masih diteruskan hingga kini ialah Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ iaitu salah satu usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap langkah menyelamatkan ikan yu daripada dibunuh hanya untuk siripnya semata-mata,” jelas beliau.
Walaupun menu sirip ikan yu tidak diharamkan namun kempen kesedaran mengurangkan malah jika boleh, menghentikan hidangan sirip ikan yu di restoran atau kedai makan tetap dilaksanakan dan dipergiatkan kepada masyarakat.
Terdahulu, Belayong menghadiri taklimat mengenai pengawalan spesies ikan dan marin terancam dan pelan tindakan kebangsaan berhubung ikan yu di Pejabat Perikanan Bahagian Miri di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Perikanan Sarawak Liza Long serta Pegawai Perikanan Bahagian Miri Buniamin Kiprawi dan pegawai kanan jabatan.