Lisa Chee dinobat Pemidato Humor Bahasa Inggeris Toastmasters
BINTULU: Lisa Chee daripada Kelab Pemidato Bintulu dinobat sebagai Pemidato Humor Bahasa Inggeris Pertandingan Pidato Penilaian dan Humor Toastmasters Kawasan E3 di sini baru-baru ini.
Manakala naib johan kategori sama disandang Hemlet Kiai daripada Kelab Toastmasters Kidurong.
Johan kategori Pemidato Penilaian pula disandang Hemlet Kiai dan naib johan Lisa Chee.
Bagi Pemidato Humor Bahasa Mandarin, johan disandang Joseph Tiong (Foochow Bintulu Toastmasters), naib johan Toh Ting Jing (Foochow Bintulu Toastmasters) dan ketiga Vincent Wong Chii Liang (Mandarin Bintulu Toastmasters).
Johan Pemidato Penilaian Bahasa Mandarin pula disandang Patrick Liw (Mandarin Bintulu Toastmasters), naib johan Toh Ting Jing dan ketiga Joseph Tiong yang masing-masing daripada Foochow Bintulu Toastmasters.
Pemenang terbabit akan memasuki peringkat seterusnya dalam pertandingan Bahagian E yang merangkumi saingan membabitkan pemidato di kawasan Bintulu dan Miri akan dilangsungkan pada 15 Oktober di Miri.
Pertandingan yang dianjurkan merupakan tradisi Toastmasters untuk memberi peluang kepada pemidato menaik taraf keupayaan mereka berucap dan sebagai pengiktirafan pemidato terbaik di samping sebagai galakan untuk peserta terlibat dalam pertandingan berkaitan.
Ia merupakan peluang kepada pemidato yang terlibat untuk belajar supaya lebih fasih menguasai bahasa berkenaan terutama yang men- dapat peluang latihan dalam Toastmasters.
Toastmasters Antarabangsa ditubuhkan pada 1924 berperanan sebagai pemimpin dalam dunia komunikasi dan pembangunan kepimpinan.
Ia mempunyai lebih 345,000 keahlian dan 15,900 kelab di 142 negara seluruh dunia. Daerah 87 merangkumi kelab-kelab di Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia.
Dalam pada itu, pemenang pertandingan peringkat bahagian akan mewakili bahagian terbabit untuk pertandingan Daerah 87 semasa Persidangan Tahunan Semi Daerah 87 di Sibu dari 27 hingga 29 Oktober ini.
Sebanyak lima kelab menyertai pertandingan untuk peringkat bahagian Bintulu tersebut merangkumi tiga kelab untuk kategori bahasa Mandarin dan dua kelab untuk bahasa Inggeris.