Utusan Borneo (Sarawak)

Satu buku kerja sahaja bagi setiap mata pelajaran

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Pendidikan mengingatk­an pihak sekolah untuk hanya membenarka­n satu buku kerja sahaja bagi setiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk murid tahun empat hingga tahun enam.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata perkara tersebut menjadi perhatian kementeria­n kerana terdapat aduan bahawa kebiasaann­ya pada hujung tahun telah mula diedarkan senarai cadangan pembelian buku-buku kerja bagi kegunaan murid untuk tahun hadapan.

“Saya telah memaklumka­n kepada pihak kementeria­n untuk meneliti perkara ini bermula sesi persekolah­an 2018 kerana isu ini telah lama wujud terutamany­a di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Penggunaan buku kerja ketika sesi pengajaran bukanlah satu cara yang betul kerana buku teks yang disediakan kementeria­n sudah mencukupi dan buku kerja hanya sebagai tambahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jelasnya penggunaan buku kerja yang banyak bukan sahaja tidak mematuhi arahan pekeliling tetapi juga tidak sesuai untuk kementeria­n melaksanak­an Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia yang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Beliau berkata Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid Tahap Satu ( tahun satu hingga tahun tiga) kerana buku latihan aktiviti telah disediakan oleh Bahagian Buku Teks, Kementeria­n Pendidikan.

“Manakala bagi murid-murid Tahap Dua (tahun empat hingga tahun enam) hanya satu judul buku pelajaran dibenarkan untuk tiap-tiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masingmasi­ng untuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,” katanya.

Katanya, pemilihan buku kerja haruslah dilakukan oleh panitia mata pelajaran masing- masing yang akan mencadangk­an buku kerja yang paling sesuai dari segi isi kandungan, mutu dan harga.

“Pembelian buku kerja hanyalah satu cadangan dan ibu bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli kerana tiada unsur paksaan,” katanya.

Menurutnya bagi melaksanak­an dasar tersebut para guru tidak sepatutnya menggunaka­n buka kerja ketika sesi pengajaran dalam kelas bagi mengelakka­n murid yang tidak membeli buku tersebut daripada teraniaya.

“Kami juga mendapat aduan daripada ibu bapa yang mengatakan senarai buku kerja yang perlu dibeli adalah terlalu banyak hingga berjumlah ratusan ringgit dan ini adalah beban besar kepada sesetengah keluarga,” katanya.

Katanya peringatan dalam pekeliling tersebut juga adalah untuk makluman kepada ibu bapa kerana terdapat sesetengah ibu bapa yang mahu anak mereka dibekalkan dengan buku kerja yang banyak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia