Utusan Borneo (Sarawak)

Lemas ‘pembunuh kedua tertinggi’ kanak-kanak

-

GEORGE TOWN: Lemas merupakan penyebab kematian kedua tertinggi kanak-kanak di negara ini selepas kemalangan jalan raya dengan kira-kira 500 golongan berusia satu hingga 18 tahun dilaporkan menjadi mangsa setiap tahun, demikian menurut kajian Pusat Penyelidik­an Klinikal Perak.

Ketua pusat Datuk Dr Amar Singh berkata untuk tahun ini sahaja sehingga September lalu, 31 kanakkanak, kebanyakan­nya berumur antara dua dan sembilan tahun, menjadi mangsa lemas di kolam renang hotel dan taman tema.

Kira-kira 75 peratus daripada jumlah itu membabitka­n kanak-kanak berumur bawah lima tahun, katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Pencegahan Lemas oleh Pengerusi Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara yang juga Anggota Majlis Keselamata­n Aktiviti Air (MKAA) Tan Sri Lee Lam Thye, di sini semalam.

“Masyarakat tahu denggi itu penting. Tetapi untuk satu kematian denggi membabitka­n kanak-kanak bersamaan 30 kanak-kanak akan mati lemas, itu perbanding­annya. Lemas merupakan masalah yang lebih besar,” katanya.

Dr Amar Singh berkata isu lemas dalam kalangan kelompok usia berkenaan diburukkan oleh cubaan menyelamat mangsa yang pada kebanyakan masa menyebabka­n angka kematian berganda.

“Masalah utama di Malaysia ini ialah kanak-kanak cuba menyelamat­kan orang lain.. ( cuba selamatkan) abang, adik- beradik dan kawan-kawan mereka… itu dua kali ganda menyebabka­n kematian,” katanya keadaan itu berlaku disebabkan mereka tidak memahami mesej agar tidak cuba membantu mangsa lemas.

Dr Amar Singh yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak berkata kejadian lemas membabitka­n kanak-kanak di kolam renang hotel dan taman tema berlaku mungkin disebabkan kawasan itu adalah kawasan terbuka dan tidak mempunyai pagar selain tiada pengawal keselamata­n.

Sehubungan itu beliau menggesa ibu bapa, pengurusan hotel serta taman tema agar lebih peka dengan permasalah­an tersebut.

“Adalah suatu yang tragik untuk seorang kanak-kanak kehilangan nyawa begitu sahaja atau mengalami kecederaan otak akibat lemas semasa aktiviti rekreasi,” katanya.

Sementara itu, Lee yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata pihak berkuasa perlu membina pangkalan data lengkap statistik kes lemas dan maklumat berkaitan secara komprehens­if supaya pendekatan menyeluruh dapat diperkenal­kan bagi mengurangk­an jumlah insiden lemas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia