Utusan Borneo (Sarawak)

FAMA hantar 5,000 kilogram durian sejuk beku ke China

-

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) akan membuat penghantar­an pertama durian sejuk beku sebanyak 5,000 kilogram ke Qinzhou di Guangxi, China bersempena Festival Durian Naning 2017 yang julung kali bakal diadakan dari 3 hingga 5 Nov ini.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata penghantar­an buah durian dalam bentuk sejuk beku itu adalah percubaan kali pertama bagi memenuhi permintaan tinggi rakyat negara berkenaan kerana sebelum ini kerajaan China hanya membenarka­n penghantar­an dibuat dalam bentuk ulas durian sahaja.

“Kali ini kita hantar buah durian Musang King (D197) sejuk beku sebiji-sebiji untuk kita lihat bagaimana sambutan terhadap buah durian ini berbanding bentuk ulas. Malah buah-buahan tempatan seperti nangka dan nanas akan turut dipromosik­an pada festival itu.

“Nilai eksport durian semakin meningkat iaitu pada 2016 bernilai RM74 juta dan pada tahun ini lebih RM100 juta. Kita sasar tahun depan sekurang-kurangnya nilai eksport mencecah RM150 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penghantar­an durian sejuk beku bersempena festival berkenaan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

FAMA, selaku Pengerusi Jawatankua­sa Logistik di Malaysia bagi program itu, akan membuat penghantar­an durian sejuk beku sebanyak dua kali iaitu pada 11 Okt ini menggunaka­n kapal laut dari Pelabuhan Klang, seterusnya melalui kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 17 Okt.

Sementara penghantar­an buah nangka dan nanas dari KLIA ke negara berkenaan pula adalah pada 30 Okt bersempena festival berkenaan, katanya.

Mengulas lanjut, Badruddin berkata FAMA turut mengekspor­t durian ke Singapura, Indonesia, Australia dan Hong Kong selain melihat Kanada dan Korea Selatan antara pasaran baharu yang perlu diteroka.

“Kita akan pastikan apabila kita nak pasarkan bekalan ke luar negara ia mencukupi dan dikehendak­i di negara tersebut,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia