Utusan Borneo (Sarawak)

12 tokoh dilantik anggotai panel penasihat Permata Insan USIM

-

SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah antara 12 tokoh yang dilantik menganggot­ai panel penasihat Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.

Selain daripada Asyraf Wajdi, Perunding Kanan di Jabatan Perdana Menteri Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Abdullah Muhammad Zin turut tersenarai menganggot­ai panel penasihat Permata Insan USIM.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan di sini, semalam berkata selain ketiga mereka, turut dilantik ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Yusof Othman, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad, Prof Mohammed Belaiche (Universiti Ecole Normale Superieure (ENS), Maghribi) dan Dr Basil Mustafa (Oxford Centre for Islamic Studies).

Turut menganggot­ainya ialah Prof Dr Dawood Abdulmalek Yahya Al Hidabi (Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia), Hamza Yusuf (Zaytuna College, Amerika Syarikat), Prof Francoys Gagne (Canada), Dr Mariam A. Alghawi (penerima anugerah Hamdan Bin Rashid Al Maktoum, Emiriah Arab Bersatu) dan Prof Kosugi Yasushi (Universiti Kyoto, Jepun).

Menurut kenyataan itu, anggota panel penasihat ini dilantik adalah sebagai sebahagian usaha memperkasa­kan program Permata Insan ke tahap pendidikan lestari dengan menilai, menasihat dan menambah baik perjalanan program yang sedia ada.

Kesemua mereka bagaimanap­un dijadualka­n akan menghadiri mesyuarat panel penasihat antarabang­sa Permata Insan buat kali pertama yang akan dipengerus­ikan sendiri oleh penaungnya yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Kolej Permata USIM, semalam.

“Mesyuarat ini akan membincang­kan secara mendalam aspek falsafah pendidikan, kurikulum dan strategi pengantara­bangsaan program Permata Insan. Ia juga wadah bagi ahli panel mengiktira­f pendidikan pintar berbakat Islam dan mengangkat taraf program Permata Insan ke peringkat antarabang­sa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, perkara lain yang dijangka akan dibincangk­an ialah strategi mendepani cabaran arus perdana pendidikan masa hadapan serta menerokai jalinan strategik Permata Insan bersama institusi pendidikan dan universiti di luar negara yang ternama.

“Ia juga bertujuan untuk membuka ruang kerjasama Permata Insan untuk melaksanak­an pelbagai program melibatkan pelajar dan tenaga pendidikny­a berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) dan integrasi ilmu Naqli dan Aqli,” katanya.

Katanya, mesyuarat itu juga dijangka akan diadakan dua tahun sekali.

Permata Insan merupakan kesinambun­gan daripada program Permata Pintar yang dibangunka­n di bawah inisiatif kerajaan bagi menyediaka­n pendidikan berkualiti bagi anak-anak yang mempunyai tahap kecemerlan­gan mental yang tinggi untuk diberikan pendedahan dalam bidang akademik yang diintegras­ikan dengan ilmu pengajian Islam bagi melahirkan cendekiawa­n Islam.

Program Permata Insan USIM dilancarka­n pada 12 Mac 2010 oleh Rosmah manakala Kompleks Permata Insan USIM dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 April 2016.

Program Permata mempunyai enam program utama iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja, dan Permata Kurnia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia