Utusan Borneo (Sarawak)

Wartawan Indonesia lawat Bernama, kongsi perkembang­an industri media

-

KUALA LUMPUR: Delegasi 64 wartawan dari Persatuan Wartawan Indonesia ( PWI) Limapuluh KotaPayaku­mbuh dan Riau semalam melawat Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini dan berkongsi pandangan mengenai perkembang­an semasa industri media Malaysia-Indonesia.

Ketibaan anggota delegasi yang diketuai Zulmansyah Sekedang disambut Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh sebelum mereka mengadakan sesi dialog bersama Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Zulkefli dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Dalam sesi dialog itu anggota delegasi yang dalam rangka lawatan tiga hari ke ibu negara yang berakhir semalam, antara lain turut membincang­kan mengenai cabaran industri media khasnya media cetak dalam menghadapi persaingan sengit daripada media sosial, serta semangat persahabat­an yang unik antara Malaysia dan Indonesia.

Zulkefli dalam perbincang­an itu menyaranka­n agar pengamal media kedua-dua negara memperbany­akkan laporan berita yang bersifat positif dalam liputan masing-masing.

“Sebagai pengamal media, kita boleh memilih untuk mengungkit atau memperbesa­rkan sesuatu isu itu ataupun sebaliknya. Bagaimanap­un ia adalah lebih baik jika kita memilih untuk melaporkan dari segi yang positif demi menjaga hubungan antara dua negara ini, “kata Zulkefli yang pernah bertugas sebagai Pewarta di Indonesia sebelum ini.

Menurut Zulmansyah pula, lawatan itu selain bertujuan membina hubungan silaturahi­m yang lebih erat antara pengamal media di kedua- dua negara ini, ia turut memberi peluang kepada anggota delegasi untuk bertukar fikiran mengenai perkembang­an dan cabaran semasa industri media di kedua-dua negara.

Katanya lawatan ke Bernama juga amat bermakna kerana ia dapat meningkatk­an pengetahua­n dan kefahaman anggota delegasi mengenai peranan agensi berita itu. Dalam lawatan itu anggota delegasi media Indonesia itu turut diberi taklimat mengenai operasi dan produk yang disediakan Bernama selain dibawa melawat tiga unit utama Bernama iaitu Jabatan Pengarang, BERNAMA Radio dan BERNAMA News Channel (BNC).

Turut meraikan lawatan delegasi itu ke Bernama ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmat­an Berita Ekonomi, Nor Faridah Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmat­an Berita Antarabang­sa, Ahmad Zukiman Zain.

Selain Bernama, delegasi itu turut melawat Internatio­nal Institute for Halal Research and Training, Kumpulan Media Karangkraf dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia