Utusan Borneo (Sarawak)

Enam kedai musnah terbakar di Baling akan dibina semula

-

BALING: Enam kedai sederet yang musnah dalam kebakaran pada September lepas di Kampung Bandar, Mukim Siong di sini akan dibina semula di tapak yang sama dalam tempoh 60 hari bermula semalam.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pembiayaan kos keseluruha­n sebanyak RM170,000 bagi membina semula premis itu adalah daripada peruntukan khas Pejabat Parlimen Baling.

“Ini adalah inisiatif Pejabat Parlimen Baling dalam membantu mangsa kebakaran membina semula kedai mereka yang musnah teruk dan seterusnya memastikan perniagaan yang terjejas sebelum ini, beroperasi semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah untuk pembinaan semula kedai itu semalam.

Bagaimanap­un Abdul Azeez berkata pihaknya menetapkan beberapa syarat yang sudah pun dipersetuj­ui pemilik dan penyewa premis berkenaan bagi mengelak berlakunya konflik antara kedua- dua pihak itu selepas bangunan tersebut siap nanti.

Beliau berkata antara syarat yang dipersetuj­ui adalah pemilik kedai wajib memberi sewa selama 24 bulan kepada penyewa asal dengan harga sewa tidak dinaikkan selain tempoh 24 bulan itu perlu bermula pada hari mereka menerima kunci kedai yang sudah dibina semula nanti.

“Bagaimanap­un, sekiranya dalam tempoh 24 bulan pemilik tidak mahu meneruskan sewaan atau penyewa mahu berpindah ke tempat lain, mereka perlu memberi notis pemberitah­uan tiga bulan sebelum melakukann­ya. Selain itu, untuk enam bulan pertama tiada bayaran sewa dikenakan memandangk­an pemilik kedai tidak perlu menanggung kos baik pulih kedai mereka,” katanya.

Selain itu, Abdul Azeez berkata beliau juga akan memohon kelulusan khas daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk pinjaman sebanyak RM20,000 kepada setiap mangsa kebakaran itu bagi memulakan semula perniagaan mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia