Seorang dipenjara, tiga bebas dengan jaminan terlibat dadah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Padah memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine, seorang lelaki didenda RM7,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa ke atas Thian Min Chen setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengkuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Manakala tiga lain diperintah supaya dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 November depan untuk pengurusan kes.

Thian, 37, dari Taman Jelita; Goh Beng Hun, 56, dari Kampung Pemindahan, Marudi; Koh Si Huat, 58, dan Chung Choi Jau, 52, kedua-duanya dari Krokop telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, keempat-empat tertuduh bukan sebagai seorang diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati dengan niat bersama ada memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat bersih 0.88 gram yang diletakkan di atas sebuah meja di ruang tamu rumah berkenaan.

M e t h a m p h e t a m i n e merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ABD 1952 (semakan 2001).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 pagi, 21 Januari tahun ini di sebuah rumah di Lorong 8 Krokop di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.