Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu bapa kanak-kanak OKU perlu tekankan pemakanan sihat

-

KULIM: Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau kurang upaya (OKU) perlu meningkatk­an kemahiran dan pengetahua­n dalam menyediaka­n makanan sihat kepada anak-anak golongan ini.

Pegawai Sains Pemakanan Klinik Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, Marshita Mohamed berkata, sikap ambil mudah dan tidak mampu merupakan faktor utama masih ramai kanak-kanak golongan ini mengalami obesiti atau kekurangan zat makanan.

“Ramai ibu bapa yang ambil berat dalam aspek pemulihan pembentuka­n fizikal ini seperti menjalani fisioterap­i, senaman dan sebagainya namun ia tidak diseimbang­kan dengan pemberian makanan yang betul dan sihat,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Program Pr1sma Care OKU: Keranamu Istimewa, di sini semalam.

Program yang dianjurkan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Daerah dan Unit Kaunseling dan Psikologi Pejabat Daerah Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu itu turut dihadiri lebih 50 ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa serta guru pembimbing PDK.

Marshita berkata kanakkanak terutama di bawah tujuh tahun yang mengikuti program di PDK, jarang mengalami masalah dalam soal pemakanan kerana diet mereka sentiasa dipantau dan makan mengikut menu yang sudah ditetapkan.

Katanya, masalah sering timbul apabila ada ibu bapa yang terlepas pandang dalam menyediaka­n makanan yang betul dan sihat kepada kanakkanak tersebut di rumah disebabkan kekurangan maklumat, teknik serta kos pemakanan yang tinggi.

Marshita berkata sudah tiba masanya ibu bapa kanakkanak istimewa dan OKU ini menjadi lebih kreatif dalam penyediaan makanan bagi memastikan kesihatan kanak-kanak tersebut berada di tahap optimum.

“Kami faham kos makanan itu sendiri agak tinggi dan disebabkan itu, kami sering menyaranka­n agar ibu bapa ini membeli makanan yang mereka mampu. Apa yang kami tekankan adalah bagaimana mahu menyediaka­n makanan itu dengan cara berkhasiat serta kreatif.

“Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunaka­n teknik yang berbeza seperti merebus, menggoreng atau mengukus bagi menyediaka­n makanan daripada bahan yang sama. Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut terutama yang cerewet, tidak jemu dengan makanan yang disediakan,” katanya.

Ibu kepada kanak-kanak autisme, Maryani Ahmad, 35, berkata, program ini memberi peluang kepadanya untuk menjadi lebih kreatif dalam menyediaka­n makanan kepada anaknya yang berusia lapan tahun.

“Anak saya memang susah hendak makan dan beratnya hanya 30 kilogram. Kini saya sedar kesilapan saya dalam memilih jenis makanan dan menyediaka­nnya. Selepas ini, saya akan mempelbaga­ikan teknik masakan agar dia dapat makan makanan yang sihat ketika di rumah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia