Utusan Borneo (Sarawak)

MIER semak naik KDNK 2017 kepada 5.4 peratus

-

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidik­an Ekonomi Malaysia ( MIER) menyemak naik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini kepada 5.4 peratus bagi tahun ini, didorong oleh permintaan domestik dan luaran yang lebih kukuh.

Pengarah Eksekutifn­ya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata semakan itu adalah pertambaha­n 0.6 mata peratusan daripada unjuran awal 4.8 peratus pada Julai lepas.

“Ekonomi (negara) mencatat prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini dengan pertumbuha­n KDNK sebanyak 5.7 peratus yang dipacu oleh permintaan domestik.

“Bagaimanap­un, kita berpandang­an bahawa pelaburan isi rumah dan swasta dalam separuh kedua 2017 tidak akan mencatat pertumbuha­n sepertiman­a separuh pertama,” katanya pada sidang media mengenai Unjuran Ekonomi Malaysia bagi suku ketiga di sini, semalam.

Zakariah berkata permintaan domestik juga dijangka meningkat kepada 4.8 peratus tahun ini, iaitu semakan menaik sebanyak 0.2 mata peratusan manakala penggunaan swasta pula dijangka berkembang sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 6.1 peratus.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia juga akan terus dipacu oleh permintaan domestik walaupun aktiviti perdaganga­n terus meningkat berikutan eksport bersih yang rendah iaitu 1.4 peratus dan mencermink­an jurang kecil antara eksport dan import.

“Walaupun eksport dan import mendominas­i unjuran ekonomi bagi 2017, sektor luaran dijangka tidak mampu memacu ekonomi dengan secara ketara.

“Import dan eksport negara ini berkembang pada kadar yang sama. Ini merupakan masalah struktur kerana kita perlu mengimport bahan-bahan dan jentera bagi menggerakk­an eksport,” katanya.

Bagi tahun 2017, pertumbuha­n eksport dan import turut disemak naik masingmasi­ng kepada 13.4 peratus dan 13.6 peratus, berikutan permintaan global yang lebih baik akibat pertumbuha­n ekonomi negara maju yang melebihi jangkaan.

Sementara itu, MIER juga mengekalka­n unjuran pertumbuha­n KDNK bagi 2018 kepada antara 4.7 peratus dan 5.3 peratus sementara menunggu petunjuk baharu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia