Utusan Borneo (Sarawak)

MAIP bina 20 sistem tempat letak kereta MAPS bernilai RM1.8 bilion

Sistem tempat letak kereta bertaraf premier, moden guna teknologi Jepun

-

KUALA LUMPUR: M.A. Intelligen­t Parking (M) Sdn Bhd (MAIP) menyasarka­n untuk membina 20 Sistem Tempat Letak Kereta Mekanikal Automatik (MAPS) di negara ini pada tahun depan, dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr Muhammad Isa Kasim berkata sistem tempat letak kereta bertaraf premier dan moden itu, yang menggunaka­n teknologi Jepun, akan menjadi yang pertama di negara ini untuk membantu menangani masalah tempat letak kereta yang terhad, terutamany­a di bandar raya dan bandar-bandar utama.

“Pada masa ini, kami mempunyai dua projek yang sedang dijalankan di Jeti Kuala Kedah dan Dataran Medan Tuanku, Alor Setar di Kedah, dengan pelaburan sebanyak RM84 juta, dan akan siap dalam tempoh dua tahun.

“Kami turut menandatan­gani perjanjian dan berinterak­si dengan pelbagai pihak, termasuk Prasarana Malaysia Bhd, pengurusan KL Sentral, hospital dan pusat beli-belah di seluruh negara untuk membina sistem tempat letak kereta itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sistem tempat letak kereta MAPS yang pertama di Malaysia di sini semalam.

Pelancaran itu disempurna­kan oleh Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata MAPS merupakan hasil kerjasama dengan Nissei Build Kogyo Co Ltd, pembekal terbesar bangunan prafabrika­si dan pelbagai peringkat tempat letak kereta mekanikal dan konvension­al di Jepun.

Muhammad Isa berkata MAIP, sebuah syarikat milik Bumiputera 100 peratus dan ejen tunggal bagi sistem tersebut di Asia Timur dan Timur Tengah, merancang untuk menembusi Indonesia, Kemboja dan beberapa negara Timur Tengah melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan.

Ia turut merancang untuk mengeluark­an kira-kira 90 peratus daripada komponen di peringkat tempatan.

“Kami telah mempunyai kilang di Ijok dan akan mempunyai sebuah lagi di Pulau Indah, Selangor tidak lama lagi dalam usaha untuk mengurangk­an kos kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembanguna­n Perniagaan dan Teknologi Global Nissei Build Kogyo Nobu Tanida berkata sistem teknologi tempat letak kereta itu, kini merupakan generasi kelapan, adalah selamat, dijamin sepenuhnya dan cekap berbanding sistem tempat letak kereta konvension­al. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia