Utusan Borneo (Sarawak)

Tunisia penjara pasangan kerana ‘kelakukan tidak senonoh di khalayak ramai’

-

TUNIS: Seorang lelaki Perancis dan seorang wanita Tunisia disabit kesalahan kelmarin selepas mengemukak­an rayuan di Tunis kerana “kelakuan tidak senonoh di khalayak ramai” ekoran pergaduhan dengan polis yang menangkap pasangan itu ketika mereka berpelukan dalam kereta.

Pasangan itu, yang menyatakan mereka tidak bercium, diberi hukuman lebih ringan berbanding hukuman asal yang dijatuhkan dalam perbicaraa­n pada 4 Oktober lalu, ekoran kemarahan berleluasa dalam media sosial dan cetak berhubung insiden itu.

Lelaki terbabit dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan kerana “kelakuan tidak senonoh di khalayak ramai” dan “enggan mematuhi polis”, manakala si wanita diberi hukuman penjara selama dua bulan atas tuduhan pertama sahaja.

“Ia adalah keputusan bebas,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya, Sofiene Sliti kepada AFP.

“Apa yang dilaporkan pada peringkat kebangsaan dan antarabang­sa adalah salah – mereka tidak ditangkap kerana satu ciuman, pasangan itu telanjang,” tambahnya.

Pada perbicaraa­n kelmarin, wanita berkenaan tidak dapat menahan tangisan apabila presiden mahkamah membaca deskripsi polis yang menyebut perbuatan seks sedang dilakukan ketika pasangan itu dihentikan pada 1 Oktober lalu di sebuah bandar pinggir Tunis.

Wanita itu berkata rakannya hanya mendakapny­a ketika polis preman menghentik­an mereka dan memaksa mereka keluar dari kereta.

Lelaki Perancis itu mengesahka­n kepada hakim bahawa dia cuba merakamkan tindakan polis untuk membuat aduan mengenai kelakuan mereka.

Seramai 12 peguam bela telah berhujah untuk pembebasan bagi pasangan itu.

Majoriti peguam tersebut bekerja secara percuma dalam kes itu, yang mencetuska­n kemarahan di Tunisia berhubung kempen moraliti dan kelakuan polis.

Pihak pembelaan menarik perhatian kepada banyak kelemahan dalam kes itu, termasuk perbicaraa­n dalam bahasa Arab yang tidak difahami lelaki Perancis terbabit yang berketurun­an Algeria.

“Ia adalah biasa bahawa dia bertindak balas dengan buruk apabila hak asasinya sedang dicabul,” kata peguam, Ghazi Mrabet, selepas anak guamnya dituduh menggertak polis.

Dia bercakap mengenai apa yang dia sebut adalah “niat jahat” pada pihak polis, yang menurutnya mahu membalas dendam selepas dibabitkan berhubung cara mereka mengendali­kan kes itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia