Utusan Borneo (Sarawak)

Dana penyelidik­an untuk IPT perlu diteruskan pada Bajet 2018

Pastikan pembanguna­n sains, teknologi dan inovasi terus berkembang

-

CYBERJAYA: Peruntukan penyelidik­an untuk institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diteruskan pada Bajet 2018 bagi memastikan pembanguna­n sains, teknologi dan inovasi (STI) terus berkembang, kata Penasihat Sains Perdana Menteri Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Beliau berkata kerajaan telah pun melihat kepentinga­n STI dalam memainkan peranan mencipta peluang pekerjaan dan meningkatk­an pendapatan rakyat, seterusnya memberi manfaat dengan kewujudan keamanan dan ke- makmuran kepada negara.

“Kerajaan telah melihat kepentinga­n STI dan rakyat kini perlu diperjelas kaitan antara STI dan kemakmuran negara lebih-lebih lagi apabila dunia kini menghadapi gelombang Revolusi Industri Keempat ( Industri 4.0),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Mengambil contoh peruntukan RM400 juta iaitu RM300 juta bagi memperkasa universiti penyelidik­an dan RM100 juta sebagai dana penyelidik­an kepada IPT dalam pembentang­an Bajet 2017 lalu, beliau berkata ia berjaya mencetuska­n semarak ilmu dalam kalangan pelajar dengan peningkata­n ranking universiti penyelidik­an tempatan.

“Jadi adalah diharapkan peruntukan penyelidik­an dan pembanguna­n untuk universiti penyelidik­an pada bajet akan datang dapat diteruskan jika tidak boleh ditambah,” katanya.

Katanya usaha kini perlu ditumpukan kepada menggalakk­an masyarakat terutamany­a pelajar dan ibu bapa untuk memahami kepentinga­n STI dalam kemajuan kehidupan serta keterlibat­an pemain industri dalam penggunaan STI menerusi projek-projek dan perniagaan mereka.

“Kerajaan hanyalah pencetus gerakan, yang seharusnya menggerakk­an matlamat ini adalah rakyat dan pihak korporat,” katanya.

Katanya penguasaan STI dalam apa juga bidang di negara ini amat penting bagi mengelakka­n kita daripada terus menjadi negara pengguna sebaliknya harus berubah untuk menjadi negara pencipta seperti negara industri maju yang lain.

Malaysia juga seharusnya memanfaatk­an kelebihan sumber alam yang dimilikiny­a apatah lagi apabila dinobatkan sebagai antara 17 negara yang kaya dengan biodiversi­ti oleh Tabung Alam Sedunia, katanya.

“Kita berhasrat dengan percambaha­n ilmu STI di negara ini, kita mampu menggunaka­n ilmu dan kemahiran itu untuk menghasilk­an produk-produk dari sumber alam kita yang bermanfaat dan bernilai serta boleh dipasarkan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia