Utusan Borneo (Sarawak)

Tanah runtuh: Polis akan turut jalankan siasatan

-

GEORGE TOWN: Pihak polis akan mula menjalanka­n siasatan penuh berkaitan insiden tanah runtuh di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini selepas kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai dijalankan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata fokus awal ketika ini ialah untuk kerja SAR oleh agensi berkaitan memandangk­an mangsa terlibat dipercayai tertimbus sehingga kedalaman 10 meter.

“Setelah kami mengenal pasti identiti mangsa yang terlibat, kita akan maklumkan kepada kedutaan yang terlibat untuk dimaklumka­n kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata sehingga jam 4 petang semalam, hanya tiga mayat mangsa ditemui, dua daripadany­a merupakan warga Bangladesh dan seorang lagi dipercayai etnik Rohingya.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Putrajaya dijangka akan tiba petang ini (petang semalam) untuk membantu kerja SAR, selain Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) yang sudah berada di sini sejak pagi tadi (semalam),” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu dilapor pada jam 8.57 pagi melibatkan 14 mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan tanah. Mereka terdiri daripada seorang rakyat tempatan manakala yang lain terdiri daripada rakyat Indonesia, Rohingya dan Bangladesh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia