Utusan Borneo (Sarawak)

Pemenang pingat gangsa WSC 2017 terima insentif RM10,000

-

SEPAN: Dua pemenang pingat gangsa dalam Pertanding­an Kemahiran Dunia (WSC) 2017, Mohd Asyraff Yusni dan Lai Jia Yi menerima insentif RM10,000 dan dianugerah­kan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dalam bidang masing-masing di bawah Kementeria­n Sumber Manusia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot mengumumka­n insentif itu pada majlis sambutan kepulangan kontinjen Malaysia ke WSC 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mohd Asyraff, 22 dari Kolej Universiti DRB Hicom mengambil bahagian dalam bidang teknologi automotif manakala Lai Jia Yi, 21 dari Kolej Taylor pula dalam bidang masakan.

Mohd Asyraff turut diiktiraf sebagai Peserta Terbaik Negara dan membawa pulang wang tunai RM4,000.

Selain itu, Malaysia telah memperoleh sembilan ‘Me- dalion for Excellence’ melalui bidang kimpalan, penyejukbe­kuan dan pendingin hawa, terapi kecantikan, dandanan rambut, teknologi fesyen, paip dan pemanasan, reka bentuk web, pembuatan kabinet dan mekatronik. Mereka diiktiraf kerana mempunyai tahap kemahiran yang sangat tinggi.

Sembilan pemenang Medalion for Excellence turut menerima insentif RM4,000 dan dianugerah­kan Diploma Kemahiran Malaysia masingmasi­ng.

Di WSC Abu Dhabi 2017 yang diadakan 15 hingga 18 Okt, Malaysia menyertai 20 bidang yang melibatkan 21 peserta yang memenangi Pertanding­an WorldSkill­s Malaysia Belia 2015 (peringkat kebangsaan) dan ASEAN Skills Competitio­n 2016.

Malaysia berjaya meraih satu pingat gangsa dalam bidang dandanan rambut dalam pertanding­an dwitahunan yang diadakan di Sao Paulo, Brazil pada 2015.

WSC bertujuan memperkasa bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sementara itu, Riot berkata kemenangan dalam WSC membuktika­n Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Pada 2015, jumlah tenaga mahir di Malaysia merangkumi 28 peratus atau 3.4 juta daripada keseluruha­n 14.8 juta pekerja tempatan di negaara ini, katanya.

“Kita menjangkak­an peratusan tenaga kerja mahir dalam negara akan meningkat kepada 31 peratus pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berharap pencapaian pada WSC 2017 akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat untuk pasukan Malaysia meneruskan misi memburu lebih banyak pingat termasuk pingat emas di WSC Kazan, Rusia 2019.

Malaysia telah menyertai WSC sejak 1993 dan penyertaan di WSC Abu Dhabi 2017 merupakan yang ke-13 negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia