Utusan Borneo (Sarawak)

K’jaan rangka strategi jual ikan segar terus kepada pengguna

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka strategi untuk mewujudkan ekosistem penjualan ikan segar secara terus kepada pengguna yang mendiami petempatan di kawasan bandar bagi memastikan harga yang rendah, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangk­an dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan antara cadangan yang ditimbang ialah mewujudkan pasukan untuk menyelaras­kan harga ikan segar murah terus daripada sumber kepada pengguna.

“Bagi yang di luar bandar, mereka boleh pergi ke jeti untuk beli ikan, tetapi masyarakat dalam bandar tidak boleh pergi ke jeti untuk beli ikan kerana mereka cuma boleh pergi pasar. Di pasar, ikan-ikan yang elok ini telah dimonopoli oleh orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen penjualan ikan segar separuh harga anjuran LKIM bersempena program pemeriksaa­n kesihatan percuma anjuran UEM Group Berhad (UEM Group) di PPR Hiliran Ampang, di sini semalam.

Katanya idea lain ialah mewujudkan tapak jualan ikan setiap hari minggu di kawasan petempatan seperti projek perumahan rakyat (PPR).

“Buka sekejap mungkin dua jam, jual secara langsung daripada sumbernya… dengan ini masyarakat dapat menikmati kualiti ikan yang segar ini datang ke tempat mereka pada harga yang tidak melibatkan margin keuntungan orang tengah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia