Utusan Borneo (Sarawak)

Isteri mangsa kemalangan terima pencen seumur hidup PERKESO

-

KUALA NERUS: Jelas terpancar kelegaan di wajah Razleen Awang, isteri arwah Mohd Amin Ibrahim, yang maut selepas van yang dipandu dihempap dahan sebatang pokok di Jalan Kampung Mangabang Lekor, Batu Rakit, 7 Oktober lepas apabila menerima pencen seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) semalam.

Mangsa yang merupakan kakitangan kerajaan berkhidmat sebagai pemandu di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit, di sini.

“Bila PERKESO telefon saya, alhamdulil­lah rasa macam syukur sangat, ada jugalah walaupun tak banyak tapi yang boleh saya bergantung dengan pendapatan bulan-bulan.

“Pada mula-mula berlaku kemalangan tersebut saya berfikir bagaimana nasib saya dan anak-anak, di mana saya nak duduk, apa perlu saya buat sebab saya pun tidak bekerja dan 100 peratus bergantung kepada arwah suami.

“Suami dari umur 18 tahun lagi sudah mula melakukan pelbagai pekerjaan seperti bekerja di kilang, bawa lori sisa klinikal di Teluk Panglima Garang di Klang sebelum menjadi pemandu van di sekolah berkenaan.

Mungkin arwah membuat caruman ketika itu yang mana saya tidak pernah tahu sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima pencen itu dari Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob di sini semalam.

Dalam pada itu Nora berkata keluarga arwah layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM1,160 setiap bulan seumur hidup.

“Bayaran untuk balu arwah dan anak-anak arwah yang berusia sembilan bulan dan dua tahun akan dibayar sehingga mereka berusia 21 tahun dan sekiranya mereka sambung belajar hingga ke institusi pengajian tinggi kita akan sambung sehingga mendapat ijazah yang pertama,” katanya.

Pada majlis yang sama Zaharah Endut ibu kepada pelajar, Mohamad Zulfahmi Abd Halim yang juga turut maut dalam kemalangan tersebut turut menerima tuntutan kematian Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia daripada pihak Takaful Malaysia sebanyak RM5,500 yang disampaika­n oleh Pengurus Perniagaan Takaful Malaysia, Zainab Kasim. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia