Utusan Borneo (Sarawak)

Bursa Malaysia dijangka pulih semula

Dipengaruh­i faktor luaran kukuh, sentimen positif menjelang Bajet 2018

-

KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka melantun semula minggu ini dengan aktiviti belian saham berharga murah susulan faktor luaran yang kukuh ditambah dengan sentimen positif menjelang Bajet 2018.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata saham di Bursa Malaysia terlebih jual dan selepas menguji paras terendah dalam tempoh enam bulannya, indeks utama itu dijangka bergerak turun naik antara paras 1,750 dan 1,760.

“Bursa Malaysia, bersama dengan bursa serantau lain dijangka dipengaruh­i faktor luaran kukuh, terutamany­a dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengurangk­an cukai.

“Para pelabur menjangka langkah ini memberikan pemangkin positif terutamany­a kepada pengekspor­t. Selain itu, kami juga berharap hasil daripada kongres Parti Komunis China akan menyediaka­n sedikit petunjuk kewangan atau ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Nazri Khan berkata walaupun inflasi September naik 4.3 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu, angka itu menyederha­na.

Menurut data daripada Jabatan Perangkaan, inflasi September disebabkan oleh kos bahan api tinggi, dengan indeks pengangkut­an meningkat 15.8 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Inflasi secara keseluruha­n mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 5.1 peratus pada Mac tetapi sejak itu ia menyederha­na, kata jabatan tersebut.

Nazri Khan juga berkata harga komoditi tinggi yang termasuk kenaikan harga minyak mentah Brent yang didagangka­n di atas paras AS$55 setong ketika ini, akan meningkatk­an pasaran.

Bagi Bajet 2018, beliau berkata ia dijangka menjadi bajet pengguna dengan kerajaan berkemungk­inan memberikan ganjaran kepada penjawat awam serta menaikkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menyokong perbelanja­an awam dan meningkatk­an ekonomi.

Bagi asas mingguan, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 14.67 mata kepada 1,740.65 daripada 1,755.32 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas turun 65.90 mata kepada 12,513.79 manakala Indeks FBMT 100 susut 69.44 mata kepada 12,155.78.

Indeks FBM Emas Shariah berkuranga­n 364.05 mata kepada 12,513.79, FBM 70 naik 35.34 mata kepada 15,278.18 dan FBM Ace menokok 26.63 mata kepada 6,949.37.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 224.52 mata kepada 16,296.10, Indeks Perusahaan turun 25.39 mata kepada 3,190.23 dan Indeks Perladanga­n jatuh 44.17 mata kepada 7,922.59.

Jumlah dagangan susut kepada 11.79 bilion unit bernilai RM9.28 bilion daripada 16.33 bilion unit bernilai RM10.05 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 6.43 bilion saham bernilai RM8.35 bilion daripada 9.80 bilion saham bernilai RM9.06 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 626.73 juta unit bernilai RM70.06 juta berbanding 663.12 juta unit bernilai RM74.29 juta.

Pasaran ACE jatuh kepada 4.66 bilion unit bernilai RM854.74 juta berbanding 5.83 bilion unit bernilai RM912.72 juta sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia