Utusan Borneo (Sarawak)

Pelantikan Kapten Izham disambut baik

-

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd sekali lagi memperoleh peneraju baharu yang akan membantu mengemudi syarikat penerbanga­n itu meraih keuntungan dengan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) baharunya.

Kapten Izham, yang ketika ini merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO), akan mengambil alih jawatan GCEO pada 1 Dis depan daripada Peter Bellew, yang kini dalam cuti pentadbira­n sebelum beliau kembali berkhidmat dengan syarikat penerbanga­n tambang rendah Ireland, Ryanair.

Shukor Yusof, Pengasas firma perundinga­n penerbanga­n, Endau Analytics ber- kata kepada Bernama bahawa masa depan Malaysia Airlines akan sekali lagi menjadi tidak menentu selepas pengundura­n Bellew dan satu-satunya perkara yang benar-benar pasti bagi syarikat penerbanga­n itu adalah serahan lapan pesawat Boeing Dreamliner­s, enam pesawat Airbus A350s dan enam pesawat A330-200s.

Apabila ditanya apakah tugas pertama yang perlu ditumpukan oleh CEO baharu itu, beliau berkata: ”masih terlalu awal untuk menyatakan apakah yang perlu dilakukan oleh CEO seterusnya kerana CEO berbeza akan mempunyai gaya yang berbeza.”

Semasa perkhidmat­annya, Bellew menumpukan kebanyakan­nya kepada mengawal kos, tambang penerbanga­n yang kompetitif dan memaksimum­kan faktor muatan, bagaimanap­un, Shukor berpendapa­t faktor muatan tidak bermakna sekiranya tidak membawa hasil positif.

Bellew dilantik menerajui syarikat penerbanga­n nasional itu pada 1 Julai 2016, mengambil alih jawatan daripada Christoph Mueller, yang melepaskan jawatan dua tahun sebelum kontraknya berakhir selepas memberhent­ikan 6,000 pekerja Malaysia Airlines dalam usahanya untuk menyusun semula kewangan syarikat penerbanga­n itu.

Pelantikan Izham itu akan menjadi pelantikan GCEO ketiga syarikat penerbanga­n tersebut dalam masa tiga tahun.

Shukor berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang tidak cekap dalam syarikat penerbanga­n itu sekiranya pengurusan baharu mahu memulihkan semula syarikat.

Beliau juga berkata syarikat penerbanga­n itu perlu diuruskan sebagai sebuah perniagaan dan perlu dilepaskan daripada Khazanah Nasional Bhd.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat penerbanga­n itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, menyambut baik pelantikan tersebut dan memuji keputusan yang diambil oleh Lembaga Pengarah Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Airlines. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia