Utusan Borneo (Sarawak)

CERITA BIDAYUH MAMBANG LANTUR

-

HAMPIR setiap hari Mambang Lantur akan keluar menjala ikan di sebuah sungai yang berdekatan dengan rumahnya. Pada suatu hari, ketika Mambang Lantur sedang menjala seperti biasa, dia menjumpai sebiji balang tersangkut pada jalanya. Apabila diperiksa Mambang Lantur mendapati ada beberapa helaian rambut di dalam balang tersebut yang kelihatan luar biasa. Rambut itu halus dan hitam berkilat serta mempesonak­an.

“Siapa agaknya yang empunya rambut ini. Mungkinkah rambut bidadari atau rambut Kumang?” fikir Mambang Lantur.

Mambang Lantur kemudian membawa balang itu pulang ke rumah untuk ditunjuk kepada ibunya. “Bu, siapalah yang punya rambut ini? Tentu orangnya cantik. Alangkah baiknya kalau dapat dijadikan isteri,” kata Mambang Lantur seperti orang yang sudah kemabukan cinta.

“Eh, Lantur. Kamu jangan hendak berkhayall­ah. Macam mana kamu hendak menyara isteri dan keluarga dengan cara hidup kamu yang begini?” kata ibunya yang tibatiba saja berasa pelik dan jengkel melihat telatah anaknya itu.

“Tidak bu, kalaulah saya dapat beristerik­an gadis begini, saya berjanji saya akan bekerja keras untuk menyaranya,” jawab Mambang Lantur dengan nada serius. “Saya sanggup merantau untuk mencari gadis seperti ini,” tambahnya.

Ibu Mambang Lantur berasa semakin hairan dan sekali gus terpegun dengan pendirian anaknya itu. Dia tidak pernah membayangk­an Mambang Lantur akan berubah begini.

Sejurus kemudian tibatiba kelihatan seorang wanita tua sedang berjalan terhenjut-henjut seperti orang tempang ke arah rumah mereka. “Oh cu, boleh nenek naik?” tanya perempuan tua itu kepada Mambang Lantur sebaik saja dia sampai dekat kaki tangga rumah.

Mambang Lantur tidak terus menjawab. Sebaliknya dia bersungut-sungut sendirian kepada ibunya. “Buat kacau saja orang tua ini,” kata Lantur. “Saya tidak suka melayan orang tua begini,” tambahnya lagi.

“Nak, tidak baik kamu bersikap biadab terhadap orang tua. Jangan menyombong diri. Biarlah dia naik. Kamu layanlah dia dengan baik,” kata ibu Mambang Lantur.

“Bukan perempuan macam itu yang saya harapkan. Saya cari gadis yang punya rambut seperti dalam balang tadi,” kata Mambang Lantur, menyuaraka­n balik isi hatinya yang sebenar.

“Lantur, Lantur. Kamu memang tidak mengen- alinya. Tapi siapa tahu, dia mungkin saja nenek atau ibu kepada gadis yang kamu cari itu,” pujuk ibunya.

Sementara itu, nenek tua itu sudah tiba-tiba saja lesap daripada pandangan setelah terdengar katakata Lantur. Mambang Lantur dan ibunya yang berada di dalam rumah tidak menyedari hal itu. Apabila mereka menjenguk ke luar lagi perempuan tua itu sudah tiada. “Agaknya dia sudah pergi ke tempat lain,” kata ibu Mambang Lantur.

Tidak lama selepas itu mereka ternampak pula seorang lelaki tua yang juga berjalan ke arah rumah mereka.” Oh cu, boleh datuk naik?” kata lelaki tua itu sebaik saja dia sudah hampir ke kaki tangga.

“Kenapalah orang yang tua-tua saja yang ingin datang ke rumah kita. Orang yang saya cari tidak pula mahu muncul. Malas saya mahu melayan mereka,” kata Mambang Lantur kepada ibunya. Dia juga tidak ingin melayan orang itu. Ibunya tidak boleh berbuat apa-apa. Kerana mendapati dirinya tidak dilayan, lelaki tua itu pun berlalu pergi dan kemudian terus lenyap daripada pandangan.

Wanita dan lelaki tua itu sebenarnya ialah gadis yang sedang dicari oleh Mambang Lantur. Gadis tersebut telah menukarkan dirinya menjadi wanita dan juga lelaki tua untuk menguji Mambang Lantur. Dia berasa kecewa apabila mendengar kata-kata Mambang Lantur. Selepas itu dia pun menukarkan dirinya menjadi seorang bayi pula dan pergi ke bawah rumah Mambang Lantur.

Apabila Mambang Lantur dan ibunya terdengar suara seorang bayi sedang menangis di bawah rumah, mereka pun segera turun untuk melihatnya. Mereka sangat hairan bercampur kagum melihat seorang bayi yang comel sedang merangkak-rangkak seorang diri di bawah rumah. Oleh kerana berasa suka dan sayang akan bayi itu, Mambang Lantur dan ibunya pun mengambil keputusan untuk mengambil dan memelihara anak itu.

Bayi itu membesar dengan cepat. Rambutnya juga mula bertukar warna sehingga menjadi berkilat kehitam-hitaman seperti rambut yang dijumpai oleh Mambang Lentur dalam balang tempoh hari. Dalam diam-diam Mambang Lantur sudah mula menaruh perasaan terhadap anak itu yang kini sudah bertukar menjadi anak gadis sunti.

Pada suatu petang, sewaktu Mambang Lantur tiada di rumah, gadis itu telah mengambil balang yang berisi rambut tempoh hari dan membawanya ke sungai untuk mandi. Dia kemudian menukar dirinya menjadi anak dara. Mambang Lantur yang melintas di situ ketika itu berasa sangat terpegun melihatnya. Dia tidak tahu bahawa gadis itu ialah gadis yang tinggal bersama mereka selama ini. Sebenarnya, gadis itu juga ada hati dengan Mambang Lantur tetapi malu untuk berterus terang.

Mambang Lantur yang tidak dapat mengawal perasaanny­a pun terus berlari mendapatka­n gadis tersebut. Gadis itu pula tersenyum sipu-sipu melihat kemunculan Mambang Lantur. Masing-masing sedang melayan perasaan hati sendiri.

Ketika itulah dengan tiba-tiba saja seekor buaya muncul dari lubuk yang bersebelah­an lalu terus menelan si gadis itu. Mambang Lantur yang tidak sempat berbuat apa-apa hanya dapat memandang peristiwa sedih itu dengan mulut terlopong. Hancur berderaila­h harapan Mambang Lantur untuk mengahwini gadis misteri itu.

 ??  ?? Radzemah Bolhassan memberi cenderamat­a kepada Yusuf Fansuri.
Radzemah Bolhassan memberi cenderamat­a kepada Yusuf Fansuri.
 ??  ?? Urus Setia KEPESSA yang menguruska­n bengkel.
Urus Setia KEPESSA yang menguruska­n bengkel.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia