Utusan Borneo (Sarawak)

Anak dipenjara, ugut tikam ibu kerana tidak mampu beri RM1,000

-

KUALA LUMPUR: Perbuatan biadap seorang anak yang mengugut untuk menikam ibunya sendiri selepas tidak mendapat wang tunai RM1,000 seperti dipintanya, menerima balasan apabila dia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam.

Majistret Haslinda A.Raof menjatuhka­n hukuman itu ke atas Muhammad Zahid Mohd Rashid, 28, seorang bekas penyelia, selepas tertuduh mengaku bersalah telah menakutkan secara sengaja kepada Rashidah Abdullah @ Ellis Rengok, 55, seorang suri rumah, dengan niat hendak mendatangk­an ketakutan di ruang tamu rumah mangsa di Kampung Dato Mufti Shuib, di sini pada 3.15 petang, 19 Ogos lepas.

Tertuduh yang merupakan seorang duda anak satu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau keduaduany­a.

Mengikut fakta kes tertuduh telah pergi ke dapur dan bertanyaka­n ibunya adakah wanita itu telah selesai menggoreng ikan namun mangsa mengatakan belum.

Tertuduh yang berang telah memarahi mangsa dan menyepak kerusi yang berada berhampira­n dan meminta wang RM1,000 daripada mangsa sebagai syarat untuk dia keluar daripada rumah mangsa.

Mangsa memberitah­u dia tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabka­n tertuduh naik berang dan mengugut untuk menikam ibu dan anggota keluargany­a yang lain.

Mangsa yang ketakutan kemudian telah membuat laporan polis.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dan telah digantung kerja selama setahun.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman berat mengambil kira perbuatan tertuduh yang tidak wajar kerana sanggup mengugut ibunya sendiri selain apa-apa perselisih­an faham sepatutnya diselesaik­an dengan cara baik bukannya mengambil tindakan di tangan sendiri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia