Utusan Borneo (Sarawak)

JAMBATAN BEBAS TOL

Abang Johari beri jaminan semua jambatan baharu dibina tidak dikenakan tol.

- Oleh Jessica Jawing

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg memberi jaminan bahawa semua jambatan baharu yang dibina di seluruh negeri tidak akan dikenakan tol.

Menurutnya, beliau akan meneruskan polisi bekas Ketua Menteri Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) itu bagi meringanka­n beban rakyat.

"Kerajaan kini sedang dan akan membina lebih banyak jambatan yang menghubung­kan sungai-sungai yang kita ada.

"Kesemuanya tidak akan dikenakan tol dan saya sebagai pengganti kepada Tok Nan juga tidak mahu ada tol untuk jambatan-jambatan berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Gantung Satok yang dihadiri Timbalanny­a merangkap Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Pengangkut­an Tan Sri Datuk Amar James Masing di sini, semalam.

Abang Johari menjelaska­n, antara projek jambatan yang sedang dijalankan termasuk Jambatan Bako, jambatan di Emart Matang, Jambatan Rambungan serta satu jambatan yang sedang dalam perancanga­n iaitu dari Darul Hana ke Bintawa.

"Selain itu di bandar raya ini sendiri kita sedang membina jambatan yang akan menjadi signifikan iaitu 'Jambatan S' di Tebingan Kuching.

"Nama jambatan berkenaan belum lagi ada dan kita memberi penghormat­an kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib menamakann­ya nanti," kata beliau.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri komited untuk membangunk­an prasarana di seluruh negeri terutama jambatan demi menghubung­kan penduduk di bandar dan luar bandar.

Jelasnya, pembinaan jambatan bukan sahaja memberi manfaat dari segi perhubunga­n kepada penduduk tetapi juga menggambar­kan nilai perpaduan dan bersatu di kalangan pendudukny­a.

"Sebagai contoh bagi Jambatan Gantung Satok ini, ia bukan sahaja bernilai dari segi sejarahnya dan tarikan kepada pelancong tetapi menggambar­kan perpaduan antara penduduk dari kedua-dua belah (tebing) sungai (Sarawak)," katanya.

Mengulas lanjut, Jambatan Gantung Satok yang dibina pada 1926 itu juga menurut beliau menjadi sejarah dari segi kejurutera­annya.

Namun jelasnya, disebabkan sudah terlalu uzur, jambatan bersejarah itu telah runtuh pada 2004 dan kini bakal dibina semula.

"Kita mahu ia nanti menjadi satu tarikan di bandar raya ini kerana ia menghubung­kan kampung seberang ke pasar baharu di Medan Niaga Satok bagi pejalan kaki.

"Bukan itu sahaja diharapkan ia akan dipasang lampu LED agar menjadi laluan 'River Cruise' yang melalui sungai ini sehingga ke ‘Jambatan S’ yang sedang kita bina," katanya.

Abang Johari berkata, ia selari dengan perancanga­n pembanguna­n di sepanjang tebing Sungai Sarawak yang dilaksana secara berfasa bagi memastikan bandar raya Kuching bersih, cantik dan rakyatnya bersatu.

 ??  ?? BAHARU: Abang Johari diiringi Masing (kanan) bersama pegawai JKR meneliti replika Jambatan Gantung Satok yang dijangka siap dua tahun lagi.
BAHARU: Abang Johari diiringi Masing (kanan) bersama pegawai JKR meneliti replika Jambatan Gantung Satok yang dijangka siap dua tahun lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia