Utusan Borneo (Sarawak)

JAMBATAN GANTUNG SATOK DIBINA SEMULA

-

Selepas 13 tahun runtuh, Jambatan Gantung Satok akan dibina semula dan akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dalam masa dua tahun akan datang.

Jambatan Gantung Satok yang dibina pada era pemerintah­an Brooke, iaitu pada 1926 menjadi laluan pejalan kaki dan kenderaan ringan seperti basikal, beca dan motosikal.

Namun berikutan keadaannya yang uzur dan tidak selamat digunakan, ia ditutup pada 1992 sebelum runtuh pada 2004.

Projek pembinaan semua diambil alih Kementeria­n Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Pengangkut­an dan diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan telah dimulakan pada 19 September lepas.

Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan gantung baharu itu menelan kos kira-kira RM8.05 juta.

“Jambatan baharu ini dibina sepanjang 213 meter dengan lebar tiga meter akan mengikut piawaian British Standard (BS) termasuk menara dan blok utama bagi memegang kabel penggantun­gan.

“Projek dimulakan pada 19 September 2017 dan dijangka siap 18 September 2019 iaitu mengambil masa kira-kira 24 bulan atau dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Gantung Satok yang disempurna­kan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di sini, semalam.

Tambah Masing, kesemua bahan keluli yang digunakan untuk pembinaan jambatan adalah kalis hakisan dan karat.

“Cadangan pembinaan semula jambatan gantung Satok akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke pasar baharu di Medan Niaga Satok selain sebagai tarikan dan destinasi pelanconga­n,” katanya.

Tambah beliau, objektif projek adalah untuk membina jambatan gantung baharu di tapak sedia ada serta mengikut reka bentuk jambatan gantung sebelumnya dengan memperbaik­i strukturny­a untuk memenuhi pelepasan navigasi.

Jambatan gantung Satok yang lama berukuran 130 meter panjang dan 2.3 meter lebar, menempatka­n saluran paip dari tangki air di Matang ke kawasan seberang Sungai Sarawak.

 ??  ?? SIMBOLIK: Abang Johari menyentuh bebola interaktif sebagai simbolik pembinaan semula Jambatan Gantung Satok.
SIMBOLIK: Abang Johari menyentuh bebola interaktif sebagai simbolik pembinaan semula Jambatan Gantung Satok.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia